am@hmetro.com.my
Langkawi: Sebanyak 600 kilogram (kg) bongkah abu teks dan bahan al-Quran dilepaskan ke laut berhampiran Telaga Harbour Park, di sini, hari ini.
Program itu dianjurkan Masjid Al-Falah Kampung Padang Kandang dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Langkawi dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Imam Masjid Al-Falah, Yusof Ismail, berkata program berkenaan bagi memastikan naskhah al-Quran yang rosak atau tidak lagi digunakan diurus secara tertib dan menepati hukum syarak.
Beliau berkata, naskhah al-Quran berkenaan dikumpulkan sejak tujuh tahun lalu sebelum dibakar secara berperingkat menggunakan relau khas selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa.
“Dengan bantuan bot ronda Maritim Malaysia, sebanyak 600 kg bongkah abu teks dan bahan al-Quran dilepaskan ke laut kira-kira 15 batu nautika dari pantai.
“Program ini akan diteruskan bagi memastikan naskhah al-Quran lama atau rosak dilupuskan dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui selepas program itu, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Agama Daerah Langkawi, Syeikh Lokman Ishak.
Yusof turut mempelawa masyarakat untuk menyerahkan naskhah al-Quran lama, rosak atau sudah tidak digunakan kepada Masjid Al-Falah untuk diuruskan dengan sempurna.
© New Straits Times Press (M) Bhd
