Keupayaan calon memenangi kerusi yang ditandingi perlu menjadi keutamaan parti politik, selain memastikan pendekatan komunikasi yang digunakan benar-benar mampu memperkenalkan calon kepada pengundi.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu semakin penting apabila parti perlu memperkenalkan calon baharu dalam tempoh kempen yang singkat, terutama di kawasan pilihan raya yang luas seperti Sabah.
Menurutnya, pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menunjukkan keperluan menggunakan pendekatan komunikasi yang lebih pantas bagi memastikan calon mendapat perhatian pengundi dalam tempoh yang terhad.
“Sabah merupakan kawasan yang begitu besar dan ramai calon baharu perlu diperkenalkan.
“Pada akhirnya, tidak kira sekuat mana sesebuah parti politik, perkara paling penting ialah calon kita mesti menang. Jika terlalu banyak bercakap tetapi kalah, apakah gunanya?” katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Azalina berkata, UMNO perlu menyesuaikan strategi komunikasinya dengan perubahan cara masyarakat menerima maklumat, termasuk memperluaskan penggunaan platform digital.
Beliau berkata, telefon bimbit kini menjadi antara medium utama komunikasi masyarakat dan perkembangan itu tidak boleh diketepikan dalam usaha parti menyampaikan mesej politik.
“Telefon bimbit merupakan medium komunikasi pada hari ini. Oleh itu, ia juga seharusnya menjadi medium komunikasi politik kita.
“Parti politik selalunya tidak menggunakan pendekatan ini, sebaliknya hanya memegang mikrofon dan berceramah. Namun, inilah realiti dan fakta yang tidak boleh kita ketepikan,” katanya.
Azalina berkata, pendekatan komunikasi digital yang digunakan UMNO di Sabah turut diperluaskan di Johor dan Negeri Sembilan dan menunjukkan hasil yang baik.

Katanya, penggunaan platform berkenaan bukan sahaja penting ketika pilihan raya, malah perlu diteruskan selepas calon memenangi kerusi bagi memastikan hubungan dengan pengundi kekal terpelihara.
Menurut beliau, calon yang dipilih perlu memanfaatkan platform digital untuk mengendalikan pusat khidmat serta menyampaikan maklumat berkaitan tugas dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Dalam masa sama, Azalina berkata, perubahan pendekatan komunikasi itu memerlukan jentera parti, termasuk Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO, bergerak seiring dengan perkembangan teknologi.

Beliau berkata, UMNO akan memberi tumpuan kepada latihan jentera penerangan supaya mereka mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan komunikasi melalui platform digital.
“Kita merupakan parti yang sangat tradisional. Sekarang, dengan adanya pendekatan dan keahlian baharu, kita mahu memastikan jentera parti bergerak selari dengan platform digital.
“UMNO akan memberikan tumpuan terhadap latihan kepada jentera penerangan selain mengadakan siri jelajah ke negeri-negeri yang dimulakan di Melaka,” ujar beliau.

