lokman.khairi@hmetro.com.my
Putrajaya: Memasuki usia sedekad operasinya, hotel Le Méridien Putrajaya terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi gaya hidup bersepadu terkemuka.
Pengurus Besar Le Méridien Putrajaya, Sonal Malik berkata, sejak mula beroperasi, hotel berkenaan berkembang daripada sekadar penginapan gaya hidup premium kepada destinasi bersepadu yang menghimpunkan perkhidmatan penginapan, santapan, perhimpunan perniagaan, majlis perkahwinan dan rekreasi dengan kemudahan laluan terus ke pusat beli-belah IOI City Mall.
Menurutnya, ketersambungan terus ke pusat beli-belah terbesar di Malaysia ini membolehkan Le Méridien Putrajaya menawarkan kemudahan lengkap kepada pelancong untuk menikmati penginapan selain menerokai pelbagai tarikan di Putrajaya.
“Sepanjang 10 tahun lalu, kami berasa amat bertuah kerana diberi peluang menyambut kehadiran tetamu untuk pelbagai momen berharga, daripada penginapan dan santapan sehinggalah ikatan perhubungan yang bermakna serta detik-detik terindah dalam kehidupan.
“Setiap satunya menjadi sebahagian daripada kisah kami dan ketika melangkah ke dekad seterusnya, cita-cita kami adalah untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan sambil memainkan peranan dalam memperkukuh tarikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sambutan ulang tahun ke-10 Le Méridien Putrajaya di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Chua Choon Hwa dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI Properties, Datuk Lee Yeow Seng.
Sonal berkata, pencapaian hotel itu turut diperkukuhkan menerusi dua pengiktirafan industri yang diterima baru-baru ini.
“Le Méridien Putrajaya menerima anugerah Best Lifestyle Hotel Experience pada Anugerah Industri Pelancongan 2026, manakala restoran Cina kami, Le Mei, turut menerima pengiktirafan dalam kategori Best Specialty Cuisine Restaurants pada HAPA® Awards 2026 Series 2.
“Pengiktirafan ini menjadi bukti kepada usaha seluruh pasukan dalam memastikan tetamu menerima pengalaman terbaik ketika berada di hotel ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sambutan ulang tahun berkenaan turut memberi penghargaan kepada 14 kakitangan yang sudah bersama hotel berkenaan sejak hari pertama ia dibuka.
Katanya, pengalaman dan kesetiaan warga kerja berkenaan menjadi antara asas penting kepada perjalanan Le Méridien Putrajaya sepanjang sedekad lalu.
“Kami mahu menghargai mereka yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hotel ini sejak awal. Sumbangan mereka sangat bermakna dalam membantu kami memberikan perkhidmatan kepada tetamu selama 10 tahun,” katanya.
Bagi meraikan ulang tahun ke-10 itu, Le Méridien Putrajaya turut menawarkan beberapa pakej penginapan dan pengalaman santapan untuk tempoh terhad.
Antaranya ialah Decade of Moments Stay yang menawarkan penginapan, sarapan pagi untuk dua orang, minum petang ulang tahun dan cenderahati, selain koleksi The Art of 10 yang menampilkan pengalaman santapan di restoran Le Mei, Latest Recipe dan Latitude 02.
© New Straits Times Press (M) Bhd
