UMNO kekal parti ‘centrist’, tidak condong ke kiri atau kanan – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – UMNO akan terus berpegang kepada pendekatan politik sederhana atau ‘centrist’ dan tidak akan condong kepada ideologi kiri mahupun kanan dalam landskap politik negara.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu sejak sekian lama mewakili kelompok pertengahan dan akan terus memilih jalan kesederhanaan sebagai asas perjuangannya.

“Penegasan saya ialah, UMNO akan selamanya ‘centrist’. Ideologi kita ialah sentrisme. Kita tidak akan condong ke kiri atau ke kanan.

“Iltizam kita ialah mengimbangi antara idea dasar kiri dan kanan sebagai sebuah parti kebangsaan yang moderat. Spektrum pendirian UMNO sangat jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO 2026 di sini pada Rabu.

Menurut Mohamad, UMNO telah membuktikan keupayaannya mengurus dan mentadbir negara selama berdekad-dekad melalui pendekatan yang sederhana, pragmatik dan inklusif.

“Kita telah diuji berpuluh-puluh tahun dalam mengurus serta mentadbir negara dengan sikap, dasar, pendirian dan keutamaan yang sederhana walaupun sebagai sebuah parti kebangsaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan bahawa mana-mana pihak yang ingin menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO perlu menerima prinsip kesederhanaan yang menjadi tunjang parti itu.

“Sesiapa sahaja yang ingin bekerjasama dengan UMNO mesti menerima kesederhanaan dan sikap menengah UMNO.

“Anda tidak boleh memaksa ideologi konservatif atau radikal ke atas UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, bangsa Melayu akan terus berperanan sebagai bangsa teras yang menyediakan ruang dan peluang kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Menurut beliau, UMNO akan memastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang makmur, stabil dan diurus berlandaskan semangat Perlembagaan Persekutuan.

“UMNO akan memastikan tanah air ini adalah tanah air untuk semua, makmur dan diuruskan dengan teliti seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ikrar UMNO ialah Malaysia yang adil dan bersatu padu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa politik Melayu harus diurus secara matang supaya tidak menjadi ancaman atau menafikan hak mana-mana kaum di negara ini.

“Politik Melayu akan kami uruskan secara matang dan sama sekali tidak akan menjadi beban, ancaman mahupun penafian hak dan kepentingan pihak lain.

“Insya-ALLAH, Malaysia yang kita cita-citakan ialah Malaysia yang aman, sejahtera dan saling melengkapi antara semua kaum,” katanya.

Scroll to Top