KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim menafikan memilih untuk mengenakan pakaian lokap berwarna ungu dan bergari ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Menurut peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, sebaliknya keadaan itu berlaku kerana Azeez berada dalam tahanan polis.
Katanya, Azeez pada awalnya dibenarkan memakai pakaian biasa sebelum keluar dari lokap.
“Bagaimanapun beliau kemudiannya diarahkan menukar pakaian kepada pakaian lokap berwarna ungu mengikut prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman polis.
“Mahkamah kemudian membenarkan perintah reman selama dua hari terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan.
Beliau merujuk kenyataan SPRM yang memaklumkan Azeez memilih untuk memakai baju lokap ungu PDRM dalam keadaan bergari atas kehendaknya sendiri.
Katanya, sebelum dibawa ke mahkamah, beliau telah dinasihati pegawai SPRM serta pegawai polis yang mengiringi beliau dan juga peguamnya untuk menukar kepada pakaian biasa selain menyatakan tidak perlu memakai gari.
Dalam pada itu, Amer Hamzah berkata, sepanjang tempoh berkenaan, Azeez kekal di bawah tahanan dan kawalan PDRM, manakala gari dipakainya dipasang oleh pihak polis dan bukannya SPRM.
“Selepas prosiding reman, anak guam kami dibawa terus dari Mahkamah Sesyen (Jenayah) 2 ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9 untuk pertuduhan SPRM dibacakan.
“Sepanjang tempoh itu, termasuk ketika dipindahkan dari satu mahkamah ke mahkamah yang lain, anak guam kami kekal dalam tahanan polis.
“Beliau tidak dibebaskan daripada tahanan polis atau diberi peluang menukar pakaian lokap sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9,” katanya.
Sehubungan itu, Amer Hamzah menyifatkan dakwaan bahawa Azeez berkeras untuk memakai pakaian lokap dan gari ketika prosiding SPRM sebagai tidak benar.
“Kami amat terkejut dengan kenyataan SPRM yang mengatakan anak guam kami memilih atau berkeras untuk memakai pakaian lokap dan gari.
“Untuk mengelakkan kekeliruan, anak guam berada dalam tahanan PDRM sepanjang tempoh berkenaan dan pakaian lokap serta gari itu adalah sebahagian daripada tahanan polis,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang gambaran bahawa Azeez secara sukarela memilih untuk hadir ke mahkamah dalam keadaan sedemikian adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan persepsi mengelirukan.
Dalam pada itu, pihaknya berkata, Abdul Azeez mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan dan menyebarkan naratif palsu atau mengelirukan berhubung perkara itu.-UTUSAN
