KUALA LUMPUR – Kerajaan diharapkan memperkenalkan pakej bantuan khas yang komprehensif bagi membela nasib ibu tunggal muda supaya mereka dapat kembali berdikari.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, perlindungan ekonomi ibu tunggal muda tidak seharusnya terhad kepada bantuan tunai semata-mata, sebaliknya perlu digabungkan pekerjaan, penjagaan anak, bantuan guaman, berkaitan nafkah, dan perumahan.
Beliau berkata, keresahan wanita muda bukan perkara jauh daripada kehidupan masyarakat kerana mereka memikirkan pekerjaan dan pendapatan, harga rumah semakin sukar dicapai dan bagaimana mahu membina kerjaya tanpa mengabaikan keluarga.
“Hari ini keresahan wanita muda bukan perkara yang jauh daripada kehidupan kita. Mereka memikirkan pekerjaan dan pendapatan. Mereka memikirkan harga rumah yang semakin sukar dicapai.
“Mereka memikirkan bagaimana mahu membina kerjaya tanpa mengabaikan keluarga. Mereka mahu berniaga, tetapi berhadapan dengan persoalan modal dan peluang,” katanya ketika ucapan dasar Perhimpunan Agung Puteri UMNO Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Menurut Nurul Amal, ramai wanita muda juga sedang memikul tanggungjawab terhadap anak, ibu bapa dan keluarga dalam keadaan kos kehidupan yang semakin mencabar.
“Inilah politik yang perlu kita perjuangkan politik yang hadir dalam kehidupan sebenar manusia. Politik yang bukan bermula dengan parti. Politik yang bermula dengan kehidupan manusia,” kongsinya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Puteri turut menuntut supaya pimpinan lebih serius kepada pihak kerajaan dalam isu kesihatan wanita muda.
“Pemeriksaan kesihatan wanita perlu dibuat dengan cara yang lebih mudah dicapai dan mampu milik, termasuk kesihatan reproduktif dan saringan penyakit wanita, melalui klinik kerajaan dan program komuniti,” katanya.
