REHDA, MCMA jalin kerjasama galak pembangunan rendah karbon

bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA Malaysia) menjalin kerjasama dengan Persatuan Pasaran Karbon Malaysia (MCMA) bagi memperkukuh kesedaran mengenai pasaran karbon, kelestarian dan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam sektor pembangunan hartanah negara.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang menyediakan rangka kerja kolaborasi untuk meningkatkan penglibatan industri, perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti dalam pengurusan karbon serta strategi penyahkarbonan.

Ia juga menyokong aspirasi Malaysia mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 menerusi penglibatan lebih meluas pemain industri dalam usaha peralihan kepada pembangunan rendah karbon.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua organisasi akan membantu industri hartanah memahami peranan pasaran karbon, kredit karbon dan pembiayaan iklim serta potensi penggunaannya dalam persekitaran binaan.

REHDA Malaysia akan memanfaatkan pengetahuan serta rangkaiannya dalam industri hartanah manakala MCMA menyumbang kepakaran dalam pasaran karbon dan projek karbon berkualiti.

Timbalan Presiden REHDA Malaysia, Datuk Edward Chong Sin Kiat berkata, keperluan kelestarian yang semakin meluas menjadikan pemaju hartanah perlu dilengkapi dengan pengetahuan mencukupi untuk memahami mekanisme baharu seperti pasaran karbon.

Beliau berkata, pasaran karbon dan pembiayaan iklim boleh dilihat sebagai sesuatu yang kompleks terutama bagi syarikat yang baru mula memahami bagaimana mekanisme berkenaan boleh diterapkan dalam operasi dan pembangunan mereka.

“Melalui kerjasama dengan MCMA, kami berharap dapat menjadikan pengetahuan ini lebih mudah diakses oleh ahli kami serta memberikan penjelasan mengenai peluang dan tanggungjawab yang hadir bersama peralihan ke arah pembangunan rendah karbon,” katanya.

Sin Kiat berkata, gabungan kepakaran teknikal MCMA dengan jangkauan industri dan pemahaman REHDA Malaysia terhadap pembangunan hartanah dijangka membantu mengenal pasti inisiatif bermakna bagi menyokong pemaju dalam perjalanan penyahkarbonan.

Sementara itu, Presiden MCMA, Dr Renard Siew berkata, penyahkarbonan persekitaran binaan Malaysia bukan sekadar satu keperluan dari sudut perubahan iklim malah membuka peluang untuk membangunkan pasaran karbon yang lebih kukuh.

Melalui MoU itu, REHDA Malaysia dan MCMA menyasarkan untuk menterjemahkan pengetahuan mengenai pasaran karbon kepada aplikasi praktikal untuk sektor hartanah.

Kerjasama itu juga merangkumi penganjuran bersama dialog industri, persidangan, bengkel, program latihan dan inisiatif perkongsian pengetahuan berkaitan.

Selain itu, REHDA Malaysia dan MCMA akan meneroka peluang dalam penyelidikan, libat urus dasar serta pelaksanaan inisiatif perintis bagi menunjukkan aplikasi pengurusan karbon dan pembiayaan iklim dalam pembangunan hartanah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top