Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dibebaskan selepas direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan pemberian hibah TH.
Sudah dibebaskan sekitar jam 3 petang
Memetik laporan daripada Berita Harian, Abdul Azeez dilaporkan dibebaskan kira-kira jam 3 petang tadi selepas Mahkamah Majistret menolak permohonan polis untuk melanjutkan tempoh remannya selama tiga hari lagi.
Bekas Ahli Parlimen Baling yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu turut disahkan bakal menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini.
Perkara itu disahkan peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad, ketika dihubungi sumber sebentar tadi.
“Saya baru dimaklumkan bahawa beliau sudah dilepaskan jam 3 lebih tadi.
“Keadaan (kesihatan) beliau baik dan sangat teruja untuk menghadiri PAU malam ini,” katanya.
Foto: Sinar Harian
Dalam perkembangan sama, Abdul Azeez turut berdepan pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Sesyen, di sini.
Sumber: Berita Harian (Latifah Ariffin)
