SPRM bentang lapan syor perkukuh tatakelola kontrak sewaan JPN

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Lapan syor penambahbaikan dibentangkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memperkukuh tatakelola pengurusan pemberian kontrak sewaan lot kedai, gerai, dan kiosk di jabatan itu.

Syor berkenaan dibentangkan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kamar Sidang Terbilang, Ibu Pejabat JPN, di sini, hari ini.

SPRM berkata, penyiasatan tatakelola itu memberi tumpuan terhadap pengurusan pemberian kontrak sewaan lot kedai, gerai, dan kiosk oleh JPN di peringkat JPN negeri serta Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, syor penambahbaikan tatakelola dicadangkan meliputi keperluan mengeluarkan dan menambahbaik mekanisme, sistem dan prosedur berhubung permohonan bertulis kepada pengurus bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, ia berkaitan penyewaan ruang pejabat kepada pihak ketiga, permohonan kebenaran pengubahsuaian, penyediaan perjanjian bertulis yang sah bagi penyewaan ruang pejabat JPN kepada pihak luar dan pelaksanaan proses tapisan keselamatan terhadap latar belakang pekerja swasta di kiosk pejabat JPN.

“Selain itu, BPT SPRM turut mencadangkan penetapan nilai penyewaan ruangan di bawah JPN negeri kepada pihak luar dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta serta pembidaan yang telus dan terbuka melalui Kelab Majlis Kebajikan, Kebudayaan dan Riadah Kebangsaan JPN KL (MADAH) dalam pemilihan penyewa.

“Ia merangkumi pemantauan dan penetapan harga produk serta perkhidmatan berpatutan bagi menjaga imej JPN dan memastikan urusan perniagaan dilaksanakan mengikut amalan yang wajar tanpa menjejaskan operasi harian pejabat JPN Negeri dan Ibu Pejabat JPN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semua syor berkenaan dibentangkan oleh Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola Perolehan BPT SPRM, Teh Chong Earn.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JPN, Muhamad Ghazali Mamat@Mansor menyambut baik lapan syor berkenaan dalam usaha memastikan amalan tadbir urus adalah lebih telus, bertanggungjawab dan seragam.

Dalam sesi itu, beliau menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola bersama Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Norazlina Abd Rahim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top