Kurang dua bulan pendedahan RCI TH, empat individu didakwa

Kuala Lumpur: Kurang dua bulan selepas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) didedahkan kepada umum, penemuannya telah membawa kepada beberapa siri siasatan dan tindakan undang-undang terhadap individu yang dikenal pasti.

Setakat hari ini, empat individu telah didakwa di mahkamah manakala beberapa lagi termasuk bekas pengurusan kanan TH dan seorang bekas menteri ditahan serta direman bagi membantu siasatan.

Mereka yang telah didakwa ialah Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd Nasahruddin Ahmad serta bekas Timbalan Pengurus Besar TH Properties Sdn Bhd Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, yang juga bekas Timbalan Pengurus Besar THP Bina Sdn Bhd.

Turut didakwa Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd Datuk Azmi Ahmad, yang dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Berikut ialah kronologi RCI TH:

22 Julai 2026:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan memaklumkan keputusan berhubung cadangan mendedahkan laporan akhir RCI TH kepada umum akan dibincang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

23 Julai 2026:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.

29 Julai 2026:

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Perdana Menteri menegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab terhadap kerugian TH berdasarkan penemuan Laporan RCI, akan dibawa ke muka pengadilan.

30 Julai 2026:

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti Laporan RCI TH yang didedahkan kepada umum.

Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan segera meneliti laporan suruhanjaya itu.

31 Julai 2026:

SPRM memulakan siasatan dengan lapan pegawai digerakkan ke Bangunan TH.

5 Ogos 2026:

SPRM merakam percakapan bekas ketua pegawai kewangan sebuah syarikat milik badan berkanun selama lebih enam jam bagi membantu siasatan.

Polis membuka lima kertas siasatan selepas menerima sembilan laporan daripada Lembaga TH, anak syarikatnya dan orang awam berhubung kes jenayah komersial termasuk perkara yang dibangkitkan dalam Laporan RCI TH.

7 Ogos 2026:

Lembaga Hasil Dalam Negeri memaklumkan pihaknya telah memulakan siasatan terhadap individu yang dikenal pasti.

11 Ogos 2026:

Dewan Rakyat bersidang bagi membahaskan Laporan RCI TH.

12 Ogos 2026:

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Laporan RCI TH akan diserahkan kepada pihak berkuasa bagi siasatan penuh berdasarkan semua dapatan dan maklumat yang dimaktubkan dalam laporan berkenaan.

15 Ogos 2026:

SPRM menahan tujuh individu terdiri daripada seorang ketua pegawai eksekutif (CEO), seorang pengarah syarikat, seorang bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan TH bagi membantu siasatan.

21 Ogos 2026:

Polis Diraja Malaysia melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial membuka lima kertas siasatan berhubung kes melibatkan TH.

Bekas CEO TH direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang pelaburan dan saham bernilai kira-kira RM190 juta susulan pendedahan Laporan RCI berkenaan.

26 Ogos 2026:

SPRM menahan bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membantu siasatan.

27 Ogos 2026:

Bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan masing-masing direman tujuh hari.

1 Sept 2026:

SPRM menahan seorang bekas menteri.

2 Sept 2026:

Seorang bekas menteri direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung isu pajakan hotel berkaitan TH di Arab Saudi.

3 Sept 2026:

Nasahruddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah wang hasil kutipan penalti berjumlah RM72,000, membabitkan projek cadangan pembangunan kompleks pejabat di Putrajaya.

Tengku Kamarolhisham pula didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Nasahruddin. Bekas Ketua Pegawai Operasi Lembaga TH sepatutnya didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam namun prosiding itu ditangguhkan kepada 24 Sept ini kerana beliau sedang menjalani pemeriksaan dan rawatan berkaitan masalah jantung.

6 Sept 2026:

Tempoh reman seorang bekas menteri disambung dua hari.

8 Sept 2026:

Seorang bekas menteri telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.

9 Sept 2026:

Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan jawatan Pengerusi di sebuah syarikat dan meyakinkan Ahli Lembaga TH untuk bersetuju meluluskan cadangan pelaburan RM193.5 juta dalam syarikat itu.

Sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan mengikut Akta SPRM, Abdul Azeez dan dua bekas pegawai atasan Lembaga TH terlebih dahulu dibawa bagi prosiding reman, dan beliau ditahan selama dua hari bagi membantu siasatan kes tipu berkaitan pemberian hibah TH di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

9 Sept 2026:

Polis menahan lima individu termasuk bekas Pengerusi dan bekas CEO Lembaga TH bagi membantu siasatan kes melibatkan institusi berkenaan.

10 Sept 2026:

Azmi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menipu berhubung kadar sewaan harian kapal.

Abdul Azeez dibebaskan selepas permohonan polis untuk melanjutkan tempoh reman terhadap bekas Ahli Parlimen Baling itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan ditolak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top