DAP wajar pertimbang semula kedudukan Kabinet jika Najib dibebaskan – DAP Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur: DAP wajar mempertimbangkan semula kedudukannya dalam Kabinet jika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang disabitkan terhadapnya, kata seorang pemimpin akar umbi parti itu.

Bendahari DAP Wilayah Persekutuan, Ben Fong Kok Seng, berkata perkembangan itu perlu dipertimbangkan walaupun sebelum ini perwakilan parti sudah memberi mandat kepada kepemimpinan DAP untuk kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen.

Beliau berkata, walaupun proses berperlembagaan termasuk kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan perlu dihormati, ia tidak seharusnya menyebabkan DAP mengetepikan prinsip politik parti.

“Sejak beberapa hari lalu, terdapat laporan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat Jumaat ini, dengan permohonan pengampunan Najib dijangka dipertimbangkan.

“Sama ada laporan itu benar atau tidak, proses berperlembagaan mesti dihormati sepenuhnya.

“Bagaimanapun, menghormati proses berperlembagaan tidak bermakna kita perlu mengetepikan prinsip politik kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kok Seng berkata, sabitan Najib dalam kes SRC International sudah dikekalkan Mahkamah Persekutuan, manakala beliau turut disabitkan Mahkamah Tinggi atas 25 pertuduhan membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan dijatuhi hukuman penjara tambahan 15 tahun.

Katanya, keputusan DAP untuk kekal dalam Kabinet selepas pembebasan Najib akan sukar diselaraskan dengan komitmen parti selama ini terhadap pentadbiran bersih, reformasi institusi dan prinsip kebertanggungjawaban.

Kok Seng turut menyokong pendirian yang pernah dinyatakan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, yang sebelum ini berkata beliau bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet sekiranya Najib dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang sewajarnya.

Bagaimanapun, Kok Seng berkata pengunduran DAP daripada Kabinet tidak semestinya bermakna kerajaan akan tumbang kerana parti itu masih boleh terus menyokong kerajaan dari luar Kabinet sambil meneruskan usaha reformasi institusi.

“Antara reformasi yang dicadangkan termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya.

“Kestabilan tidak boleh dijadikan alasan untuk menerima segala-galanya. Pemimpin politik mesti mengakui bahawa ada batas yang tidak boleh dilanggar,” katanya.

Kok Seng menegaskan kenyataan itu dibuat atas kapasiti peribadinya sebagai anggota akar umbi DAP dan tidak mewakili pendirian rasmi DAP Wilayah Persekutuan atau parti itu di mana-mana peringkat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top