am@hmetro.com.my
Maran: Seorang penjawat awam ditahan selepas disyaki merakam video dan gambar seorang lelaki secara senyap ketika mangsa berada di dalam tandas sebuah pasar raya di Bandar Jengka, dekat sini.
Suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran dalam operasi pada 8 September lalu.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, tangkapan dibuat susulan laporan diterima pihaknya pada 7 September daripada seorang lelaki berusia 22 tahun.
Menurutnya, pengadu mendakwa terdapat video dirinya dirakam oleh individu tidak dikenali ketika berada di dalam tandas sebuah pasar raya.
“Susulan laporan itu, BSJD IPD Maran menjalankan siasatan dan operasi sebelum menahan seorang lelaki tempatan yang juga penjawat awam.
“Suspek ditahan di hadapan sebuah restoran nasi kandar berhampiran pasar raya berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Wong berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku merakam video dan mengambil gambar pengadu ketika mangsa berada di dalam tandas berkenaan.
Katanya, polis turut merampas telefon milik suspek dipercayai digunakan untuk merakam video dan mengambil gambar pengadu bagi membantu siasatan.
“Suspek direman selama tiga hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
