am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Sebuah lori yang sarat dengan muatan 10 tan beras seludup ditahan di tepi jalan di Kampung Banggol Kuin, di sini, awal pagi tadi.
Rampasan dibuat oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika melakukan rondaan dan pemantauan di sekitar Pasir Mas sebelum mengesan sebuah lori dari arah Pohon Tanjung menghala ke Kampung Repek, dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, lori itu ditahan dan hasil pemeriksaan yang dibuat menemui 200 guni putih berisi beras seberat 50 kilogram (kg) setiap satu.
“Jumlah keseluruhan beras itu adalah 10 tan dan kita percaya ia diseludup dari Thailand dan pemandu lori juga gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan terbabit.
“Kesemua beras yang dianggarkan bernilai RM40,000 itu dirampas dan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahmad Radzi berkata, hasil soal selidik awal mendapati lelaki tempatan berusia 37 tahun itu memaklumkan bahawa dia hanya diarahkan untuk mengambil lori terbabit di lokasi yang ditetapkan.
Menurutnya lagi, lelaki itu juga memberitahu menerima upah sebanyak RM200 bagi membawa kenderaan dengan muatan beras berkenaan yang dipercayai akan dihantar ke Sungai Buloh, Selangor.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 20, Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994 dan rampasan ini adalah hasil pemantauan berterusan Task Force Komander, Briged Tenggara dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan beras di kawasan sempadan Kelantan.
“Maklumat berkaitan pergerakan kenderaan, lokasi pengambilan serta destinasi muatan akan diteliti bagi mengenal pasti modus operandi dan rangkaian yang terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
