am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun ditemukan maut dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah pusaka berusia lebih 100 tahun di sini, malam tadi.
Menurut saudaranya, Wee Suey See, 49, mangsa, Kong Choo Hock, 66, yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pulang dari tempat kerja kira-kira 5 petang dan kemudiannya memasak untuk makan malam.
Katanya, tidak beberapa lama selepas itu, salah seorang saudara yang tinggal di belakang rumah mangsa terdengar bunyi letupan kecil sebelum naik ke tingkat atas untuk melihat apa yang berlaku.
“Apabila membuka tingkap, dia melihat api marak di dalam rumah mangsa. Dalam keadaan panik, mereka sempat mengetuk pintu rumah mangsa ketika api marak, namun mangsa hanya sempat memberikan respons ringkas sebelum keadaan menjadi senyap,” katanya ketika ditemui lokasi kebakaran di Kampung Gok Kapur, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, malam tadi.
Suey See berkata, sebaik sahaja mengetahui kejadian yang berlaku menerusi kumpulan WhatsApp keluarga, dia bergegas datang dari Pengkalan Chepa.
“Mangsa yang tidak berkahwin tinggal bersendirian di rumah pusaka milik mendiang ibu bapanya dan kediaman itu juga sudah lama tidak mempunyai bekalan elektrik.
“Mangsa juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan masih aktif bekerja serta menjalankan tugas sebagai anggota RELA,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd Fadhlizil Ikram Ahmad Pauzi berkata, mangsa ditemukan di dalam bilik air di tingkat bawah rumah, dan dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap tebal.
Beliau berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan mencangkung sambil memeluk tong berisi air dan tidak mengalami kesan melecur yang serius.
“Besar kemungkinan ketika kebakaran berlaku, mangsa cuba keluar untuk menyelamatkan diri, namun gagal apabila akses melalui pintu belakang rumah masih berkunci.
“Keadaan itu menyebabkan mangsa pergi ke bilik air yang dipercayai dianggapnya sebagai tempat lebih selamat,” katanya.
Katanya, punca kebakaran masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

