am@hmetro.com.my
Shah Alam: Lelaki didenda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas mengaku bersalah mencuri 65 barangan termasuk ubat gigi di sebuah pasar raya di Subang Jaya, Disember tahun lalu.
Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman turut memerintahkan tertuduh, Mohd Aslizan Mustafa Maarof, 39, dipenjara 10 hari, jika gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, pembantu pentadbiran syarikat penghantaran bateri kenderaan itu didakwa mencuri 65 barangan bernilai RM730.97 di sebuah pasar raya di Subang Jaya, dekat sini, pada 7 malam 20 Disember tahun lalu.
Antara barangan yang dicuri adalah ubat gigi, ayam segar, minyak angin bayi, susu formula bayi, mi segera, kiub pati ayam, kek lapis dan putik kapas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) S Vijeswari Devi dalam mitigasinya memaklumkan tertuduh adalah penanggung tunggal tujuh sekeluarga dengan seorang daripada anaknya autistik.
Menurutnya, tertuduh juga mempunyai masalah jantung dan akan kehilangan punca pendapatan sekiranya disabitkan kesalahan.
“Justeru, kami memohon bon mengikut Seksyen 173A Kanun Tatacara Jenayah tanpa direkodkan sabitan kesalahan.
“Tertuduh juga sedia membayar pampasan sekiranya bon tidak dibenarkan serta memohon hukuman denda minimum,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni memohon hukuman setimpal dan membayar pampasan kepada pasar raya itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

