KUALA LUMPUR: Veteran UMNO mengemukakan empat resolusi termasuk menggesa parti itu menerajui usaha menjajarkan semula kekuatan politik Melayu-Islam.
Ahli Jawatankuasa Veteran UMNO, Datuk Adam Abd. Hamid berkata, penjajaran itu perlu berasaskan Perlembagaan, kepentingan rakyat dan kestabilan negara.
Katanya, perpecahan berpanjangan hanya melemahkan kuasa tawar-menawar Melayu serta membuka ruang kepada pihak lain menentukan agenda politik negara.
“Penjajaran ini bukan politik kebencian terhadap kaum lain, tetapi strategi menyatukan kekuatan tanpa mengorbankan keadilan dan kemakmuran masyarakat majmuk.
“UMNO mesti menjadi peneraju, bukan sekadar pelengkap dalam pembentukan kuasa politik Melayu,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini hari ini.
Menurut Adam, resolusi kedua pula menggesa seluruh kepimpinan dan ahli UMNO bersatu menghadapi tekanan, intimidasi serta serangan politik yang dilakukan Pakatan Harapan terhadap parti dan pemimpin.
Katanya, UMNO tidak mempertahankan salah laku, sebaliknya mahu mempertahankan keadilan, proses undang-undang yang telus serta hak seseorang daripada dihukum melalui persepsi.
“Jangan biarkan tekanan politik lawan memecahbelahkan UMNO atau menjadikan orang UMNO sendiri penyambung kepada naratif yang dibina musuh.
“Apabila UMNO semakin kuat, serangan akan semakin hebat. Sebab itu, kesatuan parti merupakan benteng pertahanan paling utama,” katanya.
Resolusi ketiga menuntut Veteran diterima, diiktiraf dan dilibatkan secara rasmi dalam jentera pilihan raya di peringkat nasional, negeri, bahagian, Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pusat daerah mengundi (PDM).
Katanya, Veteran mempunyai pengalaman, kewibawaan, jaringan masyarakat dan hubungan emosi dengan pengundi yang tidak boleh digantikan oleh teknologi semata-mata.
“Veteran juga boleh membantu memujuk ahli yang kecewa, mendekati pengundi tradisi, menyelesaikan konflik dalaman serta membimbing jentera dan calon muda.
“Kami tidak meminta layanan istimewa, tetapi menuntut agar pengalaman dan kesetiaan Veteran tidak dipinggirkan oleh mana-mana lapisan kepimpinan UMNO.
“Resolusi keempat pula menggesa UMNO memperkukuh persefahaman strategik dengan Perikatan Nasional (PN),” katanya. –UTUSAN

