KUANTAN: Kereta dipandu hilang kawalan dipercayai menjadi punca pemandu dan penumpang sebuah Honda Civic maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan Toyota Hilux di Jalan Gambang-Maran, berhampiran simpang Kampung Paya Rambutan, Tasik Paya Bungor, dekat sini hari ini.
Mangsa ialah pemandu Honda Civic, Muhammad Daniel Haiqal Abdullah, 17, dan penumpangnya, Mohd.Sharul Sufriyanto, 40, yang tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, dalam kemalangan kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, pemandu Toyota Hilux berusia 41 tahun dalam perjalanan dari arah Sri Jaya, Maran menuju ke Paloh Hinai, Pekan.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Muhammad Daniel Haiqal dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda tersebut.
“Kemalangan itu mengakibatkan pemandu dan penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Pemandu pacuan empat roda cedera di bahagian kepala, tangan dan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN
