Laporan berita COVID-19 tingkat keyakinan media

Laporan berita COVID-19 tingkat keyakinan media

PARIS: Laporan berita mengenai pandemik COVID-19 membantu meningkatkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai kepada media serta kemunculan portal digital berita, menurut laporan tahunan Reuters Institute semalam.

Laporan tahunan edisi ke-10 mengenai digital berita menjelaskan

tahap keyakinan ke atas laporan berita meningkat enam mata kepada 44 peratus sejak pandemik itu dilaporkan.

Angka itu berdasarkan undian pendapat lebih 92,000 responden yang dikendalikan oleh YouGov di 46 negara, dengan kadar keyakinan tertinggi di Finland iaitu 65 peratus manakala 29 peratus di Amerika Syarikat (AS), antara negara yang mencatatkan kadar terendah.

Ketua penulis laporan tahunan itu, Nic Newman, berkata fokus mengenai ketepatan laporan mengenai pandemik itu menjadikan berita lebih jelas dan mengenepikan berita berkaitan politik.

“Mungkin ia memberi kesan sementara tetapi kita dapati orang ramai mula yakin dan sedar mengenai kepentingan sumber berita yang boleh dipercayai,” katanya.

Reuters Institute, berpangkalan di Universiti Oxford, juga mendapati

peningkatan penggunaan berita arus perdana terutamanya di negara yang memiliki perkhidmatan media awam yang kukuh dan bebas.

Laporan itu memberitahu, hasil jualan dan pengiklanan di media cetak masih kekal merudum, berikutan peralihan ke arah langganan digital, terutama di negara di mana jualan fizikal akhbar masih tinggi seperti di Jerman, Austria dan Switzerland.

Bagaimanapun, hanya 17 peratus responden memberitahu mereka membayar berita secara dalam talian, meningkat dua mata berbanding tahun lalu, bagi 20 negara yang syarikat penerbitan media bergerak aktif membangunkan jualan platform digital.

Penulis bersama laporan tahunan itu, Rasmus Kleis Nielsen pula berkata, jumlah mereka yang melanggan berita mungkin hanya berkesaan bagi sesetengah syarikat penerbitan

“Memandangkan akses yang banyak untuk mengakses berita percuma, syarikat penerbitan perlu membangunkan pilihan berita yang lebih menarik atau memikirkan cara lain seperti mengenakan sejumlah bayaran untuk akses berita yang terhad,” katanya.

Laporan tahunan itu juga mendapati, generasi muda lebih menggemari mengakses berita daripada media sosial seperti Facebook dan TikTok. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top