TUMPAT: Lebih 2,000 penduduk di tiga kampung terpaksa bergilir-gilir menggunakan sebuah jambatan sempit yang berusia lebih 50 tahun, terutama pada waktu puncak, iaitu pagi dan petang.
Jambatan yang menjadi akses perhubungan utama penduduk Kampung Teluk Jering, Kampung Chenderung dan Kampung Cherang Melintang itu hanya mampu menampung laluan selorong pada satu-satu masa.
Seorang penduduk, Aziz Che Husien, 60, berkata keadaan itu menyebabkan kesesakan berlaku apabila pengguna dari tebing Cherang Melintang bertembung dengan pengguna dari arah Teluk Jering.
“Setiap pagi ketika waktu puncak, pengguna dari kedua-dua tebing akan bertembung untuk melalui jambatan ini. Disebabkan jambatan ini sempit dan hanya muat untuk laluan selorong, pengguna terpaksa bergilir-gilir.
“Berlaku kesesakan kerana masing-masing mahu cepat untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Jering dan keluar bekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aziz berkata, keadaan jambatan itu juga kini semakin uzur dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, terutama apabila kenderaan berat melaluinya.
Katanya, jambatan berkenaan pernah tenggelam akibat banjir besar pada 2024 dan dikhuatiri struktur binaannya tidak lagi kukuh.
“Setiap kali lori atau kenderaan berat lain melalui jambatan ini, ia bergoyang.
“Ditambah dengan keadaan sekarang yang ada projek pembinaan tebing sungai dan kerja-kerja mengorek sungai, saya khuatir struktur jambatan itu tidak kuat lagi,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ismail Kadir, 58, berkata sudah tiba masanya jambatan berusia lebih 50 tahun itu dibina baharu bagi menjamin keselamatan dan kelancaran perhubungan penduduk.
Katanya, pertambahan penduduk menyebabkan keperluan terhadap jambatan berkenaan semakin mendesak memandangkan ia menjadi satu-satunya akses perhubungan utama bagi tiga kampung terbabit.
“Sebelum ini kami boleh melalui jalan tebing sungai untuk keluar ke jalan utama tetapi disebabkan projek tebing sungai itu, penduduk tiga kampung ini perlu melalui jambatan itu sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN
