'Pakar' tanpa tauliah dalam radar SC

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mereka bukan pakar kewangan namun status populariti sebagai pempengaruh media sosial menyebabkan ada yang mengambil kesempatan berkongsi tip saham dan pelaburan kepada pengikut tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.

Tindakan mereka kini dalam radar Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kerana populariti pempengaruh ini tidak bermakna mereka bebas memberikan nasihat pelaburan kepada pengikut tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.

Malah, SC menegaskan aktiviti memberinasihat pelaburan adalah aktiviti terkawal yang memerlukan lesen, selain pempengaruh tidak dibenar mempromosikan platform tidak berlesen atau berdaftar dengan SC.

Pengurus Besar, Perlindungan dan Literasi Pelabur, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Jawahar Ali Ameer Ali berkata, pihaknya mengambil maklum semakin ramai pempengaruh berkongsi kandungan berkaitan saham dan pelaburan di media sosial.

Menurutnya, pempengaruh perlu mematuhi dua garis panduan berkaitan iaitu Nota Panduan Penyediaan Nasihat Pelaburan (Guidance Note on Provision of Investment Advice) dan Garis Panduan Pengiklanan Produk Pasaran Modal dan Perkhidmatan Berkaitan (Guidelines on Advertising for Capital Market Products and Related Services).

“Kami ambil maklum ini kegiatan yang ramai orang buat, tetapi mereka harus ikuti garis panduan.

“Dua benda penting, mereka tidak boleh promosikan platform tidak berlesen atau berdaftar dengan SC dan mereka tidak boleh beri nasihat pelaburan tanpa lesen,” katanya dalam temu bual eksklusif kepada Harian Metro.

Jawahar berkata, tindakan akan diambil jika SC mempunyai maklumat dan keterangan mencukupi berhubung pelanggaran peraturan.

Katanya, tidak semua perkongsian pempengaruh dianggap kesalahan kerana ada perbezaan antara memberikan pendidikan secara umum dengan aktiviti yang memasuki ruang nasihat pelaburan yang memerlukan lesen.

“Mereka boleh beri maklumat dan perkongsian secara umum, itu kita tidak ambil tindakan, tetapi apabila babitkan aktiviti yang memerlukan lesen daripada SC atau melanggar peraturan, yang itu kami perlu ambil tindakan.

“Kami pantau pempengaruh berterusan. Kami akan tengok berdasarkan maklumat diterima” katanya.

Beliau berkata, SC mengambil pendekatan mendidik pempengaruh supaya mereka mengetahui perkara yang dibenarkan dan perkara yang boleh melanggar garis panduan.

“Ini tidak bermakna semua pempengaruh di luar ada sana buat kesalahan. Kami pun berterusan mendidik pempengaruh untuk berkongsi apa yang dibenarkan mengikut garis panduan yang tersedia.

“Yang penting, kita tidak mahu orang awam yang hendak menjadi pelabur mendapatkan maklumat daripada sumber yang salah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah, Kumpulan Komersial dan Liputan Pasaran, Bursa Malaysia, Stephanie Tan Kar Mun berkata, peningkatan penyertaan pelabur muda dalam pasaran modal menjadikan keupayaan membezakan maklumat sahih dengan spekulasi dan penipuan semakin penting.

Menurutnya, 60 peratus akaun CDS baharu kini dibuka pelabur berusia 35 tahun dan ke bawah, berbanding 37 peratus pada 2021.

“Ini mencerminkan peningkatan akses kepada pelaburan serta penyertaan golongan muda Malaysia yang semakin meningkat dalam pasaran modal.

“Pendigitalan memudahkan proses pelaburan dan mengurangkan halangan untuk memasuki pasaran,” katanya.

Stephanie berkata, 80 peratus penyertaan runcit kini dilakukan secara dalam talian berbanding 60 peratus pada peringkat sebelum pandemik atau pada 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top