Selepas hampir 30 tahun, 6 lelaki dipenjara seumur hidup kerana bunuh warga emas

New Delhi: Mahkamah di Rangia, Assam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap enam lelaki kerana membunuh seorang wanita berusia 80 tahun, Maria Boro pada 1995, lapor India Today.

Hukuman itu sekali gus menamatkan kes pembunuhan yang berlaku susulan dakwaan mangsa mengamalkan ilmu hitam selepas tertangguh hampir tiga dekad.

Mahkamah Sesi Tambahan dan Daerah di Rangia mensabitkan kesalahan terhadap keenam-enam tertuduh kerana membunuh Boro di Kampung Bordangerikuchi di bawah Balai Polis Baihata Chariali.

Berdasarkan fakta kes, Boro dituduh sebagai pengamal ilmu hitam sebelum dia dibunuh sebelum mayatnya didakwa dibakar oleh tertuduh.

Kesemua pesalah dikenal pasti sebagai Soneswar Boro, Jungle Boro, Suraj Boro, Kandura Boro, Hareshwar Boro dan Dhanla Boro.

Mahkamah pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap keenam-enam mereka mengikut Seksyen 147, 148, 149, 302, 448 dan 201 Kanun Keseksaan India.

Kes berkenaan bermula pada 1995 apabila Boro didakwa menjadi sasaran berikutan dakwaan berkaitan amalan ilmu hitam.

Kes itu kemudiannya melalui proses siasatan dan prosiding undang-undang yang berlarutan sebelum mahkamah akhirnya membuat keputusan hampir 30 tahun kemudian.

Keputusan itu sekali gus menamatkan kes yang tertangguh sekian lama selain menunjukkan wujud tindakan undang-undang terhadap pembunuhan yang dilakukan atas alasan ilmu hitam dan kepercayaan karut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top