KUALA LUMPUR – Berkerusi roda bukan penghalang buat seorang warga emas, Rus Bakarurraini Shahfie, 67, untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 demi mengikuti perjalanan perhimpunan parti yang disertainya sejak berusia 18 tahun itu.
Walaupun pergerakannya terbatas, pesara kerajaan itu tetap meluangkan masa berada di lokasi perhimpunan selama empat hari termasuk hadir ke Dewan Merdeka bagi mendengar ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, semangat untuk bersama UMNO tetap kuat meskipun terpaksa bergantung kepada kerusi roda sejak empat tahun lalu akibat ‘slip disc’.
“Saya memandu dari Ipoh ke Kuala Lumpur sendiri. Walaupun mengalami masalah slip disc dan pernah menjalani pembedahan tulang belakang kira-kira 30 tahun lalu, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus bersama UMNO.
“Saya jatuh berkali-kali dan ada kesan pada tulang belakang. Jadi, sudah empat tahun saya menggunakan kerusi roda,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Dalam pada itu Rus Bakarurraini turut menyatakan rasa kagumnya terhadap ucapan dasar Presiden UMNO pada Jumaat yang penuh dengan harapan kepada orang Melayu dan umat Islam supaya terjalin kerjasama dengan Pas.
“Inilah yang kita nanti-nantikan supaya UMNO terus membantu kehidupan setiap orang Malaysia,” menurut ahli UMNO Bahagian Tambun itu.
Beliau berkata, kehadirannya ke PAU kali ini turut dipermudahkan dengan bantuan sahabatnya yang menyediakan penginapan berhampiran lokasi perhimpunan.
“Saya pergi ke Dewan Merdeka dengan kerusi roda kerana mahu berjumpa Presiden dan mengikuti perjalanan perhimpunan, sekali gus hendak ucapkan terima kasih atas ucapan dasar membawa harapan untuk orang Melayu” katanya.
