'Berkira-kira juga Datuk Seri, nanti balik-balik 40-0 pula' – Ahmad Razif ingatkan kepemimpinan tertinggi UMNO

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: UMNO Terengganu menggesa kepemimpinan tertinggi parti itu supaya lebih berhati-hati dan mengambil kira kepentingan UMNO negeri jika membentuk persefahaman dengan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu akan datang.

Ketua UMNO Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, UMNO negeri itu sedang menyusun barisan dan melipat gandakan khidmat kepada rakyat bagi memastikan parti itu bangkit semula di Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya menyokong penuh gagasan Kolaborasi Agung oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sebelum ini diterjemah pada PRN Negeri Sembilan dan mungkin di Melaka tidak lama lagi.

Bagaimanapun katanya, jika rundingan persefahaman, terutama membabitkan pengagihan kerusi di Terengganu, UMNO perlu memastikan situasi menang-menang antara kedua-dua parti.

“Bila berunding dengan pihak yang satu lagi, berhati-hati Datuk Seri dan kena fikir-fikirkan juga kami.

“Jangan nanti adat berkira timbang rasa, adat berunding cari muafakat, jangan mengejar untung semata, biar bersama mendapat berkat,

“Berkira-kira juga Datuk Seri, nanti balik-balik 40-0 pula. Jadi Datuk Seri, berkira biar matang, berunding biar tenang, jangan seorang saja menang, biar bersama-sama senang.

“Sefaham-faham juga tapi jangan tergadai habis, telanjang sampai berbogel kami di Terengganu ini Datuk Seri,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, parti itu tidak akan menyerahkan kerusi yang dikenal pasti berpotensi dimenanginya kepada mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, kerusi berkenaan akan dikenal pasti bersama Dewan Pemuda PAS serta jentera pilihan raya parti di peringkat negeri.

Sementara itu, Ahmad Razif, yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, berkata UMNO tidak boleh hanya bercakap mengenai calon dan strategi pilihan raya untuk menang PRU16, sebaliknya mempunyai senarai penyelesaian kepada permasalahan rakyat sebagai persediaan untuk kembali memerintah negara.

“Kita mesti mempunyai keupayaan untuk berhujah dengan dasar yang boleh diuji sebelum ia dilaksanakan.

“Jika kita mahu menjadi organisasi yang bersedia memerintah, kita perlu membina satu keupayaan yang selama ini kurang diberikan perhatian, iaitu keupayaan menghasilkan dasar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top