Sindiket tipu dalam talian kini ubah taktik – MHO

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aktiviti penipuan dalam talian membabitkan rakyat Malaysia di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia dipercayai hasil perubahan taktik oleh sindiket penipuan selepas tindakan besar-besaran pihak berkuasa di Kemboja dan Laos.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya percaya sindiket penipuan itu mengubah taktik dengan memecahkan operasi ke beberapa lokasi berbeza bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, selain menyasarkan rakyat Malaysia untuk dieksploitasi sebagai pekerja pusat penipuan di luar negara.

Menurutnya, pihaknya sebelum ini ada menerima aduan rakyat Malaysia diperdaya untuk bekerja di pusat penipuan sindiket di Sri Lanka, Pakistan, India, Afrika dan Dubai, namun kewujudan kes di Indonesia adalah yang pertama.

“Bagaimanapun, saya tak pelik kerana apabila tindakan besar-besaran dibuat terhadap pusat scam (penipuan) terbesar di Kemboja dan Laos, sindiket mula mengubah operasi.

“Mereka tidak lagi berpusat di satu tempat, sebaliknya berpecah-pecah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Jadi, apabila operasi scam di Kemboja, Laos dan Myanmar berkurangan, itu tidak bermakna sindiket ini musnah atau lumpuh. Sebenarnya mereka sedang mengubah taktik dan berpindah dengan cara yang berbeza,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai penahanan 30 rakyat Malaysia dan seorang warga Taiwan oleh pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki terbabit aktiviti penipuan dalam talian di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia pada Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, sindiket kini tidak lagi semestinya beroperasi dalam satu pusat penipuan yang besar, sebaliknya berpecah ke beberapa lokasi termasuk lokasi tertentu seperti kondominium.

“Mereka tahu apabila berpusat di satu tempat, tekanan terhadap mereka akan menjadi kuat. Jadi, mereka mula menyebarkan operasi ke negara lain,” katanya.

Mengulas modus operandi sindiket rekrut pekerja, katanya, mereka (sindiket) menggunakan ejen untuk mendekati golongan muda yang berdepan masalah keluarga atau ekonomi sebelum membina kepercayaan terhadap mereka.

Katanya, ejen terbabit akan mengambil masa untuk mendekati mangsa dengan memberikan hiburan, tempat tinggal atau sedikit wang saku sehingga wujud elemen kepercayaan.

“Proses ini kita panggil grooming (mempengaruhi mangsa).

“Apabila kepercayaan itu sudah ada, apa saja yang dikatakan ejen berkenaan akan dipercayai. Akhirnya mereka mengikutnya ke luar negara sebelum dieksploitasi sindiket,” katanya.

Hishamuddin berkata, masalah pendapatan dan ekonomi antara faktor yang menyebabkan rakyat Malaysia mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang menjanjikan gaji tinggi tanpa perlu melakukan banyak kerja.

“Mereka dijanjikan dengan kerja yang senang dan gaji yang tinggi. Itu antara faktor utama.

“Kebanyakan rakyat Malaysia yang berdepan masalah sekarang mempunyai masalah dalam pendapatan mereka. Sebab itu mereka memilih untuk mencari sumber pendapatan lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pencari kerja perlu memastikan tawaran itu mempunyai surat tawaran sah, kelulusan kedutaan dan pas kerja yang sewajarnya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang ditawarkan pekerjaan di luar negara perlu mendapatkan kelulusan kedutaan negara terbabit dan tidak memasuki negara berkenaan menggunakan pas sosial bagi tujuan bekerja.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, ahli keluarga juga perlu memainkan peranan penting dengan memantau pergaulan dan pergerakan anak-anak bagi mengelak mereka menjadi mangsa.

“Jika tidak, ada pihak lain yang mungkin mengambil kesempatan untuk mendekati dan mempengaruhi mereka sebelum dibawa ke pusat penipuan.

“Usaha kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan media sahaja tidak mencukupi jika keluarga tidak turut memainkan peranan memantau anak masing-masing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top