Ancaman siber, dron, AI cabaran baharu pertahanan negara – Raja Muda Perlis

 

ARAU – Ancaman terhadap keselamatan negara kini tidak lagi terhad kepada peperangan konvensional sebaliknya turut merangkumi serangan siber, peperangan hibrid, penggunaan dron, kecerdasan buatan (AI) dan ketidaktentuan politik global.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkembangan berkenaan menjadikan medan pertahanan masa hadapan semakin kompleks kerana ia bukan sahaja melibatkan ruang fizikal, malah turut merangkumi aspek digital dan pemikiran.

Sehubungan itu, baginda menyeru generasi baharu supaya celik teknologi, bijak menilai maklumat, memahami isu keselamatan serta sentiasa peka terhadap perkembangan geopolitik.

“Dalam mendepani cabaran ini, semangat cinta akan negara mesti menjadi tunjang perjuangan.

“Pegang teguh prinsip kesetiaan, keberanian dan kejujuran dalam setiap tindakan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Awam (PALAPES UA) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Sabtu.

Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan pegawai muda supaya bijaksana menilai setiap maklumat agar tidak mudah dipengaruhi propaganda, berita palsu atau naratif yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan keamanan negara.

Baginda yang juga Canselor UniMAP pada masa sama menitahkan agar mereka memelihara nama baik Institusi Raja, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), universiti dan pasukan yang diwakili.

“Tampilkan keteladanan dalam tutur kata, tingkah laku dan tindakan kerana setiap pegawai bukan sahaja membawa nama organisasi, namun turut memikul maruah dan amanah negara.

“Ingatlah, mempertahankan negara bukan sekadar tugas, tetapi komitmen dan tanggungjawab kepada tanah air,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan tahniah kepada seluruh Pegawai Kadet PALAPES yang berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia (TDM), Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Istiadat berkenaan menyaksikan seramai 1,885 Pegawai Kadet PALAPES daripada 20 universiti awam seluruh negara menerima pentauliahan.

Daripada jumlah itu, seramai 1,218 Pegawai Muda ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Wataniah, manakala 389 ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela TLDM dan 278 lagi ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela TUDM.

Istiadat tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pedang Kehormat kepada 39 Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap perkhidmatan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, kepimpinan, disiplin dan kecemerlangan sepanjang menjalani latihan PALAPES.

UniMAP diberi penghormatan menjadi tuan rumah penganjuran Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES UA ke-44 Tahun 2026 buat julung kalinya.

Selain istiadat berkenaan, pelbagai pameran aset dan demonstrasi ketenteraan turut dibuka kepada orang ramai di sekitar Padang Kawad dan Dataran Boulevard UniMAP dari 10 hingga 12 September.

Antara yang dipamerkan termasuk aset pertahanan darat, laut dan udara, selain demonstrasi terjun bebas, Tempur Tanpa Senjata, ikhtiar hidup serta pertunjukan anjing perang.

 

 

Scroll to Top