MELAKA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menganggap isu ketidakhadiran jemputan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sebagai satu perkara yang perlu dipersoalkan.
Pengarah Komunikasi PKR, Adam Adli Abdul Halim berkata, parti itu menghormati hak UMNO untuk menentukan tetamu yang ingin dijemput menghadiri perhimpunan tahunan berkenaan.
“Tak apalah, tak dijemput itu bukan urusan kita. Rumah dia, dia nak jemput orang datang, itu hak dia.
“Kita pun tidak ada isu apa-apa. Sama ada dijemput atau tidak dijemput, tidak ada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan UMNO yang tidak menjemput wakil Pakatan Harapan (PH) menghadiri PAU 2026 yang berlangsung dari Rabu hingga Sabtu.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, jemputan kepada Pas dibuat sebagai membalas kunjungan wakil parti itu ke Muktamar Pas ke-72 yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan minggu lalu.
Adam Adli berkata demikian ketika ditemui pada Program Perasmian Penutup Kampung Angkat Madani Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) di Kampung Sungai Putat pada Sabtu.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, projek tebatan banjir Sungai Putat yang kini melepasi 50 peratus tahap pembinaan mula menunjukkan kesan positif apabila impak banjir di kawasan tersebut semakin berkurangan.
Menurutnya, projek bernilai lebih RM24 juta itu dijangka siap pada tahun hadapan dan diharap dapat disempurnakan mengikut jadual bagi memastikan manfaatnya dinikmati penduduk setempat.
“Kita berharap projek ini dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan agar penduduk dapat menikmati manfaat sepenuhnya, khususnya dalam mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, lebih RM1 juta telah dibelanjakan menerusi inisiatif Kampung Angkat Madani Sungai Putat bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan awam.
Antara projek yang dilaksanakan termasuk pembangunan dewan, pembaikan jalan, naik taraf sistem saliran dan lampu jalan serta kerja-kerja penambahbaikan balai raya, masjid dan tandas masjid.
Menurut beliau, inisiatif tersebut penting bagi memastikan hasil pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat di peringkat akar umbi.
“Pembangunan tidak boleh tertumpu di peringkat tertentu sahaja. Kemudahan asas dan keperluan masyarakat setempat juga perlu diberi perhatian supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh,” katanya.