Modi hargai sokongan berterusan Malaysia perkukuh hubungan ASEAN-India

NEW DELHI – Perdana Menteri India, Narendra Modi menyatakan penghargaan atas sokongan berterusan Malaysia dalam mengukuhkan hubungan ASEAN-India semasa pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Modi, yang juga tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18, mengalu-alukan rakan sejawatannya itu ke India dan menghargai penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS sebagai negara rakan kongsi.

“Kedua-dua pemimpin membincangkan hasil lawatan Perdana Menteri Modi ke Malaysia pada Februari 2026 dan mengkaji kemajuan dalam kerjasama dua hala merentasi pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, semikonduktor, infrastruktur, ekonomi digital, tenaga, teknologi kewangan (fintech), pendidikan, pelancongan dan hubungan rakyat dengan rakyat,” menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar India di sini pada Sabtu susulan pertemuan kedua-dua pemimpin itu.

Menurut kenyataan itu, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menyampaikan persetujuan Malaysia untuk penubuhan Konsulat Jeneral India di Kota Kinabalu, Sabah.

“Kedua-dua pemimpin saling bertukar pandangan mengenai isu utama serantau dan global untuk kepentingan bersama. Mereka menyatakan komitmen berterusan mereka memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif India-Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menjadi negara rakan kongsi BRICS bermula 1 Januari 2025.

Anwar tiba di sini pada Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak yang dihoskan oleh Modi.

Ini merupakan lawatan kedua beliau ke India selepas kunjungan pertama pada Ogos 2024.

Hubungan diplomatik moden antara Putrajaya dan New Delhi diwujudkan pada 1957, dengan hubungan dua hala ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif semasa lawatan pertama Anwar ke sini.

India kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM79.49 bilion (AS$18.59 bilion) pada 2025.

Barangan eksport utama Malaysia terdiri daripada minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, serta produk elektrik dan elektronik, manakala import terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia. – Bernama

Scroll to Top