KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan semua kumpulan berkepentingan bagi memastikan tiada pihak tertinggal dalam usaha mewujudkan akta baharu yang komprehensif bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Akta 30).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beberapa siri pertemuan telah diadakan bersama pelbagai pihak termasuk golongan akademik, pentadbir dan kumpulan lain bagi mendapatkan pandangan serta cadangan berkaitan akta baharu berkenaan.
“Sekarang ini, kita sedang mengusahakannya. Saya telah pun memulakan perbincangan dengan semua kumpulan kerana saya tidak mahu mana-mana kumpulan pun tertinggal apabila kita nak wujudkan sebuah akta yang baharu bagi menggantikan AUKU.
“Saya telah pun mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pertubuhan-pertubuhan seperti daripada dalam kalangan akademik, pentadbir termasuk juga yang bukan kategori A dan akan berjumpa dengan kumpulan-kumpulan lain beberapa hari lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi lebih luas di Malaysia.
Keputusan terbabit diambil selepas mengambil kira memorandum dan pandangan yang dikemukakan kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta tersebut.
Zambry berkata, kumpulan mahasiswa turut diberi ruang untuk menyumbangkan pandangan dalam proses tersebut, termasuk melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPKK) yang mewakili universiti-universiti.
“Mereka juga akan mengadakan kumpulan mereka sendiri termasuk sama ada kumpulan A (atau) kumpulan B (atau) yang bersetuju (mahupun) tidak bersetuju supaya kita gabungkan, lihat mana yang kita nak supaya satu akta yang komprehensif yang mengambil kira semua pandangan,” katanya.
Zambry berkata, kerajaan mahu memastikan akta baharu itu bukan sahaja mengambil kira keperluan semasa, malah mampu menjadi kerangka perundangan yang relevan untuk masa hadapan.
Beliau berkata, perubahan yang berlaku selepas lebih lima dekad menjadikan keperluan untuk menilai semula kerangka perundangan berkaitan universiti dan institusi pengajian tinggi.
“Saya sebutkan berkali-kali bahawa AUKU itu diwujudkan pada 54 tahun yang lalu. Tentunya akan ada perubahan, tentunya ada yang mengatakan bahawa kita sudah tidak sesuai,” ujarnya lagi.
Menurut Zambry lagi, Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri dalam ucapan beliau pada Jumaat menyatakan ‘no more AUKU’, sekali gus akan mewujudkan sebuah akta baharu yang lebih komprehensif.
“Saya sebut berkali-kali bahawa AUKU itu telah meliputi semua aspek penubuhan universiti yang ada pada sekarang ini. Jangan lupa aspek-aspek itu selain daripada hal yang mereka lakukan dengan manusia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memantau keadaan pelajar Malaysia di Indonesia susulan jerebu berpanjangan yang berpotensi menjejaskan kesihatan mereka.
Menurutnya, pihaknya setakat ini belum menerima laporan mengenai tahap keseriusan keadaan berkenaan kerana situasi berbeza mengikut lokasi dan universiti.
