nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keputusan membabitkan usul untuk meminda dan menaikkan had umur keahlian Puteri UMNO kepada 40 tahun akan dibuat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini berikutan usul itu bukan hanya membabitkan perubahan kepada pergerakan berkenaan malah turut memberi kesan kepada sayap Wanita.
“Apabila kedua-duanya terkesan, ia akan memberi impak kepada parti secara keseluruhannya jika penyelesaian dan keputusan diberi tidak tepat. Justeru itu, parti mengambil ketetapan untuk membuat keputusan dan memutuskan usul itu selepas PRU akan datang.
“Ini kerana kita mahu memastikan semua pihak memberi sepenuh perhatian dan fokus kepada usaha memenangi pilihan raya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, usul dikemukakan itu perlu diteliti terutama jika 30 peratus calon pilihan raya parti berkenaan dalam kalangan wanita termasuk dari kalangan Pergerakan Puteri.
“Saya beri jaminan kepada Pergerakan Wanita dan Puteri bahawa jawatankuasa saya iaitu Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan akan mengemukakan penyelesaian menang-menang kepada kedua-dua pihak.
“Justeru itu, saya berharap kedua-dua pihak turut beri jaminan untuk memenangkan semua calon-calon parti ketika PRU nanti,” katanya.
Mohamed Khaled berkata usul berkenaan kerap kali dibangkitkan oleh Pergerakan Puteri dan pihaknya menghargai usaha dilakukan untuk memperkukuhkan sayap berkenaan.
“Dalam Perhimpunan Agung kali ini, sekali lagi usul itu dibawa oleh wakil Puteri dan parti sedar ia adalah usul yang disokong kuat oleh Pergerakan Puteri. Namun, parti juga mengakui ia adalah satu usul yang tidak mudah untuk diputuskan kerana ia perlu dilihat secara keseluruhan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan usul berkaitan had umur Pergerakan Puteri UMNO kepada 40 tahun dibawa untuk pertimbangan pimpinan parti, namun belum ada keputusan mengenainya dibuat.
Selain itu, sayap Wanita dan Puteri UMNO memohon jaminan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam setiap PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika membahaskan Ucapan Dasar sayap masing-masing, kelmarin.
© New Straits Times Press (M) Bhd
