Tiada parti lain layak perjuang penyatuan Melayu selain UMNO – Khaled Nordin

Tiada parti lain layak perjuang penyatuan Melayu selain UMNO – Khaled Nordin

Hanya UMNO merupakan satu-satunya parti yang dilihat layak memperjuangkan agenda penyatuan Melayu, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, usaha menyatukan orang Melayu sering berdepan pandangan yang menganggap agenda berkenaan bersifat rasis serta boleh menyebabkan bangsa lain berasa terancam dan tidak selamat.

Menurutnya, UMNO perlu meyakinkan semua pihak bahawa penyatuan Melayu tidak pernah bertujuan menjatuhkan mana-mana kaum, sebaliknya dibina atas keyakinan, kepercayaan serta nilai yang mampu menyatukan masyarakat.

“Bila orang Melayu nak bersatu, akan terdengar banyak suara sumbang. Ada orang menuduh bahawa penyatuan Melayu ini adalah sesuatu yang rasis. Ada yang mendakwa ia adalah gerakan yang menyebabkan bangsa lain terancam dan berasa tidak selamat.
“Tugas kita ialah meyakinkan semua bahawa penyatuan orang Melayu tidak pernah dan tidak akan sesekali dibina dengan menjatuhkan orang lain.
“Ia akan diusahakan dengan cara yang membawa keyakinan dan kepercayaan, bukan dengan cara yang ekstrem, cara yang menakutkan ataupun cara yang tidak waras,” katanya ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Tiada parti lain layak perjuang penyatuan Melayu selain UMNO – Khaled Nordin

Mohamed Khaled berkata, perpecahan dalam kalangan orang Melayu hanya akan memudaratkan kepentingan bangsa dan tanah air, selain melemahkan kedudukan politik Melayu dalam jangka panjang.

Beliau berkata, sudah sampai masanya segala bentuk perpecahan dalam kalangan orang Melayu dielakkan, dengan penyatuan Melayu perlu dilihat sebagai satu iltizam politik untuk mengukuhkan kedudukan bangsa dan bukan sekadar slogan atau jenama.

“Secara asasnya, penyatuan Melayu yang dibawa dan diusahakan oleh UMNO ini mempunyai beberapa ciri penting. Pertama, dia adalah penyatuan yang bukan sekadar bersifat slogan atau jenama. Malah kita tidak memerlukan semua itu. Ia adalah iltizam politik untuk menguatkan kedudukan bangsa Melayu.
“Ia adalah penyatuan Melayu yang merentas masa, merentas usia, dan pastinya merentas ideologi politik. Ia penyatuan yang dibuat dengan kesediaan memadam khilafan silam.
“Ia dibuat atas kesedaran bahawa menyatukan bangsa adalah tuntutan agama, malah ia juga adalah tuntutan perlembagaan. Kerana Melayu dan segala domain Melayu itu adalah pasak terpenting dalam Perlembagaan Malaysia. Maka jika Melayu itu berpecah, maka semangat sebenar perlembagaan itu juga akan tergelincir,”katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, penyatuan Melayu merupakan jalan utama untuk mengembalikan kekuatan dan kedudukan politik orang Melayu.

“Tiada jalan lain untuk mengembalikan kuasa politik Melayu kecuali melalui kesatuan dalam kalangan orang Melayu itu sendiri.
“Hari ini, di sebalik kebanjiran pelbagai parti politik Melayu, kuasa dan kedudukan politik orang Melayu tidak semakin baik. Sebaliknya, kebanjiran itu hanya melemahkan kedudukan politik Melayu,”ujar beliau.

Beliau berkata, penyatuan yang diusahakan UMNO bertujuan mengajak semua orang Melayu kembali kepada usaha memusatkan kekuatan politik secara terpadu bagi memastikan kuasa politik Melayu kekal kukuh.

“Penyatuan Melayu itu penting bagi memastikan kuasa politik Melayu kekal dihormati oleh rakan-rakan kita di Sabah dan juga Sarawak.
“Ini akan memberikan kita keabsahan untuk terus mengemudi pemerintahan Malaysia,”tambahnya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pertahanan negara hari ini tidak cukup dengan hanya memiliki aset yang tercanggih atau kesiagaan anggota tentera semata-mata.

Sebaliknya, katanya, negara perlu membangunkan ketahanan rakyat yang menjadi salah satu komponen penting dalam memperkukuh ketahanan negara.

“Ia merujuk kepada keupayaan rakyat menghadapi cabaran atau krisis. Rakyat mampu menyesuaikan diri, bangkit semula dan terus berfungsi.
“Ketahanan rakyat adalah satu pencegahan yang kredibel, yang mampu menjadi benteng dan perisai yang kuat kepada negara apabila berhadapan dengan ancaman,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata, UMNO sebagai sebuah parti politik boleh memainkan peranan dalam usaha membangunkan ketahanan rakyat dan seterusnya pertahanan negara.

“Kita bukan nak suruh rakyat angkat senjata. Tetapi kita mahu rakyat dibentuk dan dipupuk sikap dan nilai yang betul untuk mengurus ancaman dan juga cabaran, seperti nilai patriotisme dan juga kecintaan kepada negara,”jelasnya.

Scroll to Top