firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Berbaki lima hari sebelum Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Khamis ini, tular di media sosial bayangan calon yang bakal memenangi pemilihan bagi mengisi barisan Exco badan induk bola sepak negara itu.
Persoalannya, adakah senarai berkenaan benar-benar menggambarkan wajah baharu FAM atau sekadar kesinambungan legasi ‘orang lama’ yang sebelum ini sudah lama berada dalam pentadbiran persatuan berkenaan?
Jika diteliti senarai yang sedang beredar itu, hampir 80 hingga 90 peratus nama yang dikatakan bakal mengisi barisan Exco baharu terdiri daripada individu sudah mempunyai pengalaman dalam pentadbiran FAM.
Antara nama disebut termasuk Datuk Seri Rosmadi Ismail, Datuk N Saaran, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Datuk Azhar Jamaluddin, Mohd Azizudin Mohd Shariff, Datuk Kamarudin Hassan, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Datuk Suraya Yaakob.
Sekali lagi perlu ditegaskan, senarai itu hanyalah gambaran yang tular dan bukan keputusan rasmi Kongres FAM.
Namun, jika benar corak pemilihan nanti hampir menyamai senarai berkenaan, ia menimbulkan satu persoalan besar adakah perwakilan masih mahu meneruskan kesinambungan pentadbiran sedia ada atau membuka ruang kepada wajah baharu yang dinilai berdasarkan prestasi semasa?
Ini kerana FAM sebelum ini melalui tempoh cukup mencabar terutama selepas tercetus isu membabitkan tujuh pemain yang dikenakan tindakan berkaitan dokumen keturunan dan pendaftaran pemain.
Kontroversi berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada imej FAM, malah mencetuskan persoalan mengenai tadbir urus, proses semakan, ketelusan serta tahap akauntabiliti dalam pentadbiran bola sepak negara hingga menyaksikan kelompok nama di atas secara sukarela meletakkan jawatan secara ‘berjemaah’, sekali gus mengambil tanggungjawab di atas kegagalan itu.
Justeru, jika sebahagian besar wajah lama kembali mengisi kerusi Exco, apakah itu boleh dianggap sebagai tanda perwakilan masih memberikan kepercayaan kepada pengalaman mereka?
Atau adakah ia bakal ditafsirkan sebagai kegagalan FAM melakukan perubahan lebih besar selepas episod kontroversi yang menggegarkan badan induk bola sepak negara?.
Dalam masa sama, menarik untuk diperhatikan beberapa nama yang dikaitkan dengan prestasi positif di peringkat persatuan bola sepak negeri (FA) dan kelab pula tidak kelihatan dalam senarai sedang tular itu.
Antaranya, Mohd Firdaus Mohamed dan Afizal Abu Othman serta dua wajah lebih muda, Dr Johan Kamal Hamidon dan Muhammad Faliq Firdaus.
Keempat-empat nama ini boleh dilihat sebagai kelompok yang membawa perspektif berbeza berdasarkan pengalaman serta pencapaian semasa dalam pengurusan bola sepak di peringkat masing-masing.
Persoalannya, bukankah individu yang menunjukkan keupayaan mengurus FA atau kelab dengan baik wajar diberikan ruang untuk membawa pengalaman berkenaan ke peringkat nasional?.
Pemilihan Exco sepatutnya bukan sekadar berdasarkan siapa yang paling lama berada dalam sistem, tetapi siapa yang mampu memberikan nilai tambah kepada FAM.
Pengalaman sememangnya penting, namun prestasi, keupayaan mengurus, keberanian melakukan pembaharuan dan kemampuan mengembalikan keyakinan pemegang taruh juga perlu menjadi ukuran.
Lebih-lebih lagi, FAM kini berada pada titik paling terendah dan memerlukan transisi pembaharuan yang menyeluruh.
Badan induk itu bukan sahaja perlu menyelesaikan persoalan yang timbul daripada episod terdahulu, tetapi perlu meyakinkan peminat, pemain, kelab, penaja dan komuniti bola sepak bahawa satu budaya pentadbiran lebih telus serta profesional sedang dibentuk.
Jika benar sebahagian besar barisan lama kembali menguasai Exco, ia mungkin dilihat sebagai usaha meneruskan kesinambungan dan pengalaman sedia ada.
Tetapi pada masa sama, ia juga boleh mengundang persoalan sama ada FAM benar-benar bersedia untuk melakukan perubahan struktur dan pendekatan yang lebih besar.
Sebaliknya, kemasukan lebih banyak muka baharu, khususnya individu yang mempunyai rekod prestasi semasa bersama FA dan kelab, mungkin memberikan nafas berbeza kepada FAM.
Mereka tentunya membawa perspektif baharu terhadap cara pengurusan, pembangunan bola sepak, komunikasi, pemasaran, tadbir urus dan hubungan dengan pemegang taruh.
Akhirnya, Kongres Pemilihan FAM bukan sekadar menentukan siapa yang akan duduk di kerusi Exco, sebaliknya ia adalah keputusan mengenai hala tuju bola sepak Malaysia untuk beberapa tahun akan datang.
Adakah perwakilan akan memilih untuk meneruskan legasi ‘orang lama’ atas faktor pengalaman dan kesinambungan atau memberikan peluang kepada barisan yang dinilai berdasarkan prestasi semasa dan kemampuan melakukan perubahan?.
Jika senarai yang tular itu benar-benar menjadi kenyataan, satu lagi persoalan lebih besar bakal muncul ialah adakah ini barisan Wawasan yang mampu mengubah nasib FAM dan memulihkan kembali imej badan induk bola sepak negara?.
Jawapannya hanya akan diketahui apabila undi dibuat oleh 25 perwakilan terdiri daripada FA dan Kelab Liga Malaysia, dengan keputusan rasmi diumumkan Khamis ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
