PAS Kedah setuju Sanusi bertemu pemimpin UMNO

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Pertemuan antara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan pemimpin UMNO negeri itu sedang diatur bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara kedua-dua parti.

Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya dan Pejabat Menteri Besar sedang mengatur masa yang sesuai untuk pertemuan berkenaan.

“Saya pun dah dapat persetujuan daripada PAS Kedah untuk mengadakan pertemuan awal dengan bekas MB dari UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Saya dimaklumkan dia nak datang dengan Datuk Seri Ahmad Bashah (Md Hanipah).

“Kita pun minta pejabat atur masa yang sesuai. Saya kena minta kebenaran PAS Kedah dulu. Saya bukan ketua parti di Kedah, saya ‘second man’. Saya ada ketua saya. PAS Kedah pun dah bersetuju diadakan pertemuan awal itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Sepak Raga Tuju Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah Tahun 2026 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Mahdzir dilaporkan menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Muhammad Sanusi bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara UMNO dan PAS di negeri itu.

Mahdzir sebelum ini berkata, pertemuan berkenaan akan diatur selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Muhammad Sanusi berkata, pertemuan awal itu penting bagi mendapatkan gambaran mengenai perkara yang ingin dibincangkan pihak UMNO sebelum sebarang rundingan lanjut dibuat.

“Mungkin nak tanya pasal kerusilah kot, kan? Saya difaham kerusi ni status quo.

“Kalau UMNO BN tak ada kerusi lagi, tengok boleh explorelah kerusi mana nak bertanding, saya tak pastilah, mungkin tu… saya sebut dulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang rundingan mengenai pembahagian kerusi tidak boleh diputuskan hanya berdasarkan kedudukan di sesebuah negeri, sebaliknya perlu mengambil kira keseluruhan negara.

Katanya, pendekatan itu membolehkan sebarang pelarasan dibuat antara negeri berdasarkan keputusan rundingan di peringkat pusat.

“Di peringkat negeri Melaka, rundingan tidak boleh dibuat peringkat negeri Melaka sahaja, rundingan mesti ambil kira seluruh negara.

“Kalau bincang dalam negeri tu saja susah nak ‘kesok’ (berganjak). Macam di Kedah, Kelantan, Terengganu ni susah nak ‘kesok’. Jadi kena ambil kira negeri-negeri lain juga.

“Apa-apa jua pusat akan buat keputusan, akan turunkan keputusan tu di negeri-negeri. Saya akan patuh keputusan tu lah. Setakat ni peringkat awal, jumpa dululah. Kita tengok apa nak disembang. Saya tak ada gambaran lagi pun. Itu je lah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top