KOTA BHARU – Kenyataan berkaitan isu Pas patut diberi peluang tadbir negara yang sedang kini beredar di media sosial bukan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata, tulisan berkenaan yang turut menggunakan gambarnya tidak pernah dikeluarkan melalui mana-mana saluran rasmi miliknya.
“Saya mengambil maklum satu tulisan yang sedang beredar di media sosial dan sesawang yang boleh menimbulkan kekeliruan serta disalah anggap sebagai kenyataan saya.
“Saya tegaskan bahawa tulisan tersebut bukan kenyataan saya dan tidak pernah dikeluarkan melalui mana-mana saluran rasmi saya,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya.
Tulisan berkenaan diterbitkan oleh sebuah portal berita media sosial dengan membawa tajuk ‘Berilah Pas Peluang Tadbir Malaysia, Biar Seluruh Negara Rasai Apa Yang Kelantan Rasai’ dan menggunakan gambar Menteri Besar Kelantan.
Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin berkata, kritikan dan perbezaan pandangan diraikan namun hendaklah berasaskan fakta serta tidak menyandarkan kepada seseorang kenyataan yang tidak pernah dibuat.
“Orang ramai dinasihatkan agar merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya.