PUTRAJAYA – Malaysia kekal tegas dalam usaha mendapatkan kembali aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk menerusi tuntutan kira-kira S$1.298 bilion (RM4.2 bilion) terhadap DBS Bank Ltd di Mahkamah Tinggi Singapura.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha pemulihan itu bukan semata-mata soal menuntut kembali wang yang hilang, sebaliknya turut membabitkan amanah, keyakinan terhadap institusi serta martabat Malaysia di mata rakan-rakan antarabangsa.
“Usaha pemulihan ini bukan semata-mata soal menuntut kembali wang yang hilang. Amanah, keyakinan terhadap institusi serta martabat Malaysia di mata rakan-rakan antarabangsa turut tergadai dalam episod hitam negara ini.
“Justeru, Kerajaan Madani berikhtiar memperteguh tatakelola dan kebertanggungjawaban institusi agar pengkhianatan sebesar ini tidak berulang,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan Kementerian Kewangan (MoF) pada Ahad.
Tuntutan berkenaan difailkan oleh empat syarikat yang sedang dalam proses pembubaran bersama pelikuidasi yang dilantik mahkamah, bagi menuntut ganti rugi berhubung dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.
Menurut Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB, tuntutan itu melibatkan lima akaun DBS yang dibuka pada 2013 oleh empat syarikat terbabit.
Dokumen pembukaan akaun menamakan Tan Kim Loong atau Eric Tan, sebagai pemilik benefisial tunggal syarikat-syarikat berkenaan dan penandatangan bagi kelima-lima akaun terbabit.
Akaun berkenaan didakwa digunakan untuk menyalurkan lebih AS$1 bilion dana 1MDB dan SRC yang diseleweng antara 2013 hingga 2014.
Berdasarkan angka terkini, jumlah keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, merangkumi RM42.5 bilion yang sudah dibayar Kerajaan serta baki hutang RM8.9 bilion.
Sebanyak RM31.3 bilion diterima sebagai hasil pemulihan aset, menjadikan baki kerugian yang bakal ditanggung Kerajaan akibat skandal 1MDB mencecah RM20 bilion.
Usaha pemulihan itu membabitkan kerjasama dan proses perundangan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom dan Singapura.
Antara pemulihan terbaharu ialah penyelesaian yang dicapai Kerajaan dengan JPMorganChase pada Ogos 2025, yang membabitkan sumbangan RM1.4 bilion ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset Malaysia.
Dana yang diperoleh semula melalui akaun berkenaan digunakan bagi membayar hutang dan memenuhi tanggungan kewangan sedia ada berkaitan 1MDB dan SRC, sekali gus mengurangkan beban ke atas kewangan awam.

