KOTA BHARU – Empat agensi akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan penerbangan ihsan bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman Sarawak terus menerima rawatan susulan penangguhan sementara operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, agensi berkenaan ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menurutnya, langkah itu diambil selepas KKM memutuskan semua operasi FDS ditangguhkan sementara bagi membolehkan siasatan serta semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi dilaksanakan pihak berkaitan.
“Alternatif yang digerakkan itu antaranya mendapatkan bantuan JBPM menerusi perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan melalui udara.
“Saya sebutkan dalam kenyataan sebelum ini bahawa langkah-langkah dan pilihan atau alternatif lain sudah digerakkan,” katanya.

Dr Dzulkefly (tengah) mengimamkan solat jenazah Dr Ainul Baraah. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi jenazah Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, di Masjid Al-Karomah, Baung, Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Dr Dzulkefly berkata, KKM tidak boleh membiarkan perkhidmatan berkenaan terhenti terlalu lama, namun aspek keselamatan penerbangan perlu diteliti dengan lebih rapi susulan nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak, yang meragut lima nyawa, termasuk empat petugas kesihatan.
Katanya, kementerian kini menunggu hasil siasatan pihak berkuasa sebelum menentukan langkah seterusnya bagi memperkukuh aspek keselamatan dan membolehkan operasi FDS disambung semula.
“Tujuh pasukan FDS KKM memberi perkhidmatan kepada kira-kira 14,000 hingga 15,000 penduduk kawasan pedalaman yang sukar dicapai melalui laluan biasa,” ujarnya.