Awie tetap semangat meski tak sihat! Jerebu rosakkan paru-paru, bronkitis kembali menyerang

Awie tetap semangat meski tak sihat! Jerebu rosakkan paru-paru, bronkitis kembali menyerang

Penyanyi rock, Awie, tetap menggagahkan diri menjayakan Konsert Awie Rock King – Last Man Standing 2026 di Stadium Merdeka, malam tadi, meskipun mengalami bronkitis buat kali kedua akibat keadaan jerebu yang melanda negara sejak beberapa minggu lalu.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 57, berkata keadaan itu memberi kesan terhadap kesihatannya, namun dia tetap berusaha memberikan persembahan terbaik di hadapan kira-kira 20,000 pengunjung.

“Anda nampak saya bergelonjak lompat-lompat tapi sebenarnya saya tidak sihat. Jerebu rosakkan paru-paru saya, saya kena bronkitis kali kedua.
“Apapun, show tetap diteruskan dan akan habiskan kesemua lagu pada malam ini,” katanya ketika persembahan.
Awie tetap semangat meski tak sihat! Jerebu rosakkan paru-paru, bronkitis kembali menyerang

Kredit Foto: Hazreen Mohamad

Konsert hampir empat jam itu menampilkan lima segmen iaitu Kita Bersama, Legasiku, Cinta dan Filem, Tribute, Aku dan Mereka dengan iringan lima band serta 20 pemuzik.

Lebih istimewa, Awie turut membuat kejutan buat isterinya, Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin apabila menyampaikan lagu Maharani sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10.

“Lagu ini diciptakan untuk ‘housemate’ saya. Inilah hadiah 10 tahun perkahwinan kita,” katanya yang disambut sorakan pengunjung.

Mengimbau kembali perjalanan seni bersama Erra Fazira, Awie sempat berseloroh mengenai lagu Tragedi Oktober yang enggan dinyanyikannya kerana mengingatkan kepada gosip percintaan mereka suatu ketika dahulu.

Kredit Foto: Utusan Malaysia

“Dulu kita bersama dan kemudian berpisah, kita bersama semula tapi sebagai sahabat dan adik. Sekarang Erra kekal seorang primadona dan memegang ‘title’ itu,” katanya.

Kredit Foto: RTM

Persembahan turut diserikan dengan kemunculan Erra selain penyanyi jemputan Datuk Hattan, Black, Akim, Stacy, Amir Masdi, Merah dan Hannah Delisha.

Kredit Foto: Utusan Malaysia

Biarpun persembahan sudah memasuki tengah malam, tenaga Awie kekal bertenaga apabila konsert diteruskan sehingga jam 1 pagi sebelum ditutup dengan lagu Terima Kasih.

“Terima kasih kerana sudi menunggu saya sehingga jam 1 pagi ini. Sepatutnya tamat jam 12 tengah malam tapi kita tambah sampai jam 1 pagi.
“Terima kasih juga kerana setia bersama saya selama 41 tahun dalam industri. Panjang umur, kita berjumpa lagi. Terima kasih,”ucap beliau.

Sumber: Utusan Malaysia (Wafa Aula)

Scroll to Top