PAS mendakwa janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak hanya sekadar lakonan, selain mempersoalkan kebolehlaksanaan cadangan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pertambahan kerusi Parlimen sememangnya perkara yang baik dan praktikal, namun pelaksanaannya memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Sekali lagi PMX (merujuk kepada Perdana Menteri) tampil dengan lakonan bermutu tinggi apabila menjanjikan tambahan kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak. Maka tersenyum lebarlah kedua-dua Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak di sebelah kanan dan kiri PMX mendengar janji ini. Saya harap mereka berdua tidak mudah terpedaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Menurutnya, cadangan itu bukan perkara yang boleh dilaksanakan dengan mudah tanpa rundingan bersama semua pihak berkepentingan, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti-parti politik.
Beliau berkata, kali terakhir persempadanan pilihan raya dibuat pada 2018, dengan proses rundingan dan sesi libat urus oleh SPR bersama pemegang taruh bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Katanya, proses berkenaan turut melibatkan rundingan berkaitan sempadan baharu serta nama kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama parti-parti yang terlibat.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan sama ada pertambahan kerusi Parlimen boleh dilaksanakan sebelum PRU16 sekiranya proses rundingan dengan pemegang taruh masih belum dimulakan.
“Pertambahan kerusi parlimen ini perlu, kita akui, tetapi ia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, bahkan di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata, keperluan pertambahan kerusi juga lebih kritikal di beberapa negeri Pantai Timur atau kawasan yang disifatkan sebagai ‘malay belt area’, yang didakwanya tidak menikmati pertambahan kerusi sebagaimana kawasan Pantai Barat ketika persempadanan bagi PRU2004.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli mendakwa janji berkenaan lebih kepada janji manis yang tidak praktikal untuk dilaksanakan dalam tempoh sekarang, memandangkan PRU16 dijangka berlangsung dalam tempoh kira-kira setahun.
Beliau turut mendakwa janji tersebut bertujuan memastikan Sabah dan Sarawak terus menyokong Kerajaan MADANI sekiranya BN mengambil keputusan untuk keluar daripada kerajaan.

Menurutnya, sokongan PN dan BN juga penting sekiranya pindaan Perlembagaan membabitkan pertambahan kerusi Parlimen mahu dilaksanakan.
Ahmad Fadhli berkata, PAS tidak mempunyai masalah untuk menyokong pertambahan kerusi Parlimen sekiranya proses itu dilakukan secara adil kepada semua negeri dan melalui rundingan sewajarnya.
Beliau pada masa sama mengingatkan Sabah dan Sarawak supaya tidak mengambil langkah yang disifatkan sebagai salah dengan hanya melihat keuntungan politik jangka pendek.
Sumber: FB Fadhli Shaari
