IPOH – UMNO Perak masih terbuka untuk mengadakan rundingan kerjasama politik dengan mana-mana pihak termasuk Pas di negeri ini dengan setiap perbincangan perlu membawa kepada situasi menang-menang bagi semua pihak.
Setiausaha UMNO Perak, Datuk Dr Aminuddin Md Hanafiah berkata, setakat ini belum ada pertemuan rasmi antara UMNO dan Pas di peringkat negeri berhubung perkara berkenaan.
Menurutnya, perbincangan secara tidak rasmi atau ad hoc mungkin pernah berlaku namun belum ada sebarang bentuk kesepakatan jelas dicapai setakat ini.
“Datuk Seri Saarani Mohamad (Pengerusi UMNO Perak) sendiri sedia maklum bahawa sebarang bentuk perundingan ini mestilah membawa kepada situasi menang-menang.
“Tertakluk kepada pihak yang melakukan perbincangan nanti, sudah pastinya setiap pihak ingin mendapat manfaat lebih daripada perbincangan tetapi kita terbuka untuk menerima pandangan dan pihak yang satu lagi pun mestilah terbuka untuk menerima pandangan daripada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sentuhan Kasih Sempena Perasmian Naik Taraf Fasiliti Struktur Bumbung Tambahan di Kompleks Pusat Jagaan Budi Mulia Nurul Huda, Chemor di sini pada Ahad.
Aminuddin berkata, UMNO Perak bersedia mempertimbangkan sebarang peluang dan ruang bagi mencapai kesepakatan tetapi semua pihak yang terlibat perlu saling menerima pandangan serta cadangan dalam rundingan.
“Sudah pastinya ada pihak-pihak yang berminat tetapi belum ada satu yang konkrit, daripada sekadar minat.
“Kita bersedialah untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tambun.
Semalam media melaporkan UMNO memberi indikasi lebih cenderung mengadakan rundingan secara terus dengan Pas berbanding Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kecenderungan itu antara perkara yang dapat dilihat menerusi perbahasan dan pandangan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi sekiranya UMNO bekerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum akan datang, Aminuddin berkata, kedudukan semasa yang menyaksikan UMNO hanya memperoleh sembilan kerusi adalah berdasarkan status quo ketika ini.
“Itu berdasarkan keadaan semasa, status quo sekarang memang macam itu tetapi tak bermakna kita akan terus kekal macam itu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tiga pilihan yang disebut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail iaitu kerjasama BN-PH, BN-PN atau bergerak secara solo sememangnya merupakan pilihan yang tersedia.
Menurutnya, keputusan mengenai pilihan berkenaan bergantung kepada ruang dan peluang yang ada bagi mencapai kesepakatan antara parti.
“Tiga pilihan itu adalah satu rahsia umum, semua kita tahu. Itulah pilihan yang ada dan tertakluklah bagaimana kita menggunakan sebarang bentuk kemungkinan, peluang dan ruang untuk mencapai kesepakatan.
“Sekiranya kesepakatan tidak boleh dicapai, ada juga pilihan untuk bergerak secara sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, UMNO Perak turut merekodkan perubahan positif dari segi pendaftaran keahlian khususnya membabitkan generasi muda menerusi kaedah pendaftaran dalam talian.
Katanya, kemudahan proses pendaftaran itu dilihat menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menyertai parti berkenaan.
Beliau berkata, perkembangan positif penerimaan golongan muda terhadap UMNO turut dilihat susulan perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan.