Sindrom Marfan, skoliosis bukan halangan Muhammad Akmal cemerlang dalam pengajian

Port Dickson: Penerima Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) Politeknik Merlimau Melaka (PMM) Muhammad Akmal Yazali membuktikan penyakit sindrom Marfan dan skoliosis yang dihadapi bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajian.

Muhammad Akmal, 22, dari Melaka menamatkan pengajian dengan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) cemerlang 3.81 itu juga aktif menyertai pelbagai pertandingan inovasi sepanjang tempoh pengajian.

“Walaupun keadaan saya tidak sempurna seperti pelajar lain namun ia tidak mematahkan semangat untuk berusaha. Malah hasil doa dan sokongan ibu bapa serta dorongan abang dan rakan banyak membantu saya berjaya hingga hari ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Muhammad Akmal berkata, sindrom Marfan, iaitu penyakit genetik yang menjejaskan tisu penghubung badan manakala skoliosis, keadaan tulang belakang bengkok mengehadkan pembabitannya dalam aktiviti yang memerlukan kekuatan fizikal, namun tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu akan meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Muhammad Akmal antara 1,195 graduan PMM yang menerima penganugerahan diploma pada Majlis Konvokesyen kali ke-24 politeknik itu yang berlangsung dalam tiga sidang selama dua hari bermula semalam.

Timbalan Pengarah (Akademik) PMM Faridatuljana Mohd Noor berkata, konvokesyen kali ini lebih istimewa susulan pengiktirafan PMM sebagai Politeknik Premier selain menjadi konvokesyen pertama diadakan di luar kampus dengan menghimpunkan semua politeknik dan kolej komuniti di Zon Selatan.

“Selepas kesemua sidang selesai, PMM dijangka mempunyai jumlah keseluruhan 32,766 lulusan, sekali gus memperlihatkan kesinambungan peranannya dalam menyediakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang relevan serta berdaya saing.

“Menjelang 2027, PMM akan menawarkan dua program Ijazah Sarjana Muda berteraskan Pembelajaran Berasaskan Kerja, iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik Kepintaran Lestari dan Ijazah Sarjana Muda Analitik Perniagaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top