am@hmetro.com.my
Melaka: Selepas diperkenalkan sebagai projek perintis di Selangor tahun lalu, Pertandingan Pantun anjuran bersama DRB-HICOM dan Harian Metro kini diperluaskan ke Zon Selatan, dengan Melaka menjadi negeri pertama membuka saingan.
Persiapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka, Banda Hilir, di sini, kini giat dilakukan bagi memastikan pusingan suku akhir dan separuh akhir yang berlangsung esok berjalan lancar.
Pengarang Berita Kanan Harian Metro, Noor Azam Ab Aziz berkata, empat sekolah dari Melaka akan bersaing untuk merebut tempat ke peringkat akhir yang akan berlangsung di Johor tidak lama lagi.
Menurutnya, sekolah terbabit termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, SMK Pernu, SMK Ayer Keroh dan SMK Ghafar Baba Masjid Tanah.
Katanya, pada kali ini SMK Tinggi Melaka dipilih sebagai tuan rumah bagi saingan yang dijangka dihadiri kira-kira 300 pelajar termasuk guru.
“Melaka menjadi negeri pertama untuk suku akhir dan separuh akhir pertandingan ini.
“Sekolah yang memenangi esok akan mewakili negeri ini untuk kita bawa ke Johor bagi pertandingan akhir,” katanya ketika membuat persiapan pertandingan itu di Dewan SMK Tinggi Melaka, di Banda Hilir, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pada masa sama, DRB-HICOM akan mengadakan pameran selain terdapat taklimat berhubung keselamatan jalan raya daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Kita turut mengundang sekolah-sekolah berhampiran untuk datang meninjau pameran serta memeriahkan pertandingan pantun yang bertemakan perbahasan itu,” katanya.
DRB-HICOM adalah rakan kolaborasi strategik Harian Metro dalam penganjuran pertandingan yang dicetuskan syarikat itu dan diperkenalkan pada 2025 sebagai projek perintis di Selangor sebelum diteruskan tahun ini dengan peluasan ke Zon Selatan.
Pelaksanaannya turut membabitkan beberapa rakan strategik utama yang juga ahli Kumpulan DRB-HICOM, termasuk Proton, Modenas, PUSPAKOM, Bank Muamalat, DHAS, CTRM dan Honda.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan DRB-HICOM dan rakan strategiknya dalam menyokong pembangunan bakat, inovasi serta kerjasama industri pada peringkat lebih luas.
Pertandingan itu dinilai empat juri profesional iaitu Komposer, Penulis Lirik dan Pantun, Dr Hairul Anuar Harun; juri Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Peringkat Kebangsaan, Dr Faezah Muhayat; Musazliza Mustan Shir serta Pengkaji, Penyelidik dan Penulis Buku Pantun, Dr Mohamad Shaidan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
