Penduduk marah masalah rangkaian telefon, juruteknik telekomunikasi diikat pada menara pemancar

Fatehpur: Berang dengan masalah rangkaian telefon bimbit yang teruk sejak dua tahun lalu, penduduk kampung di Hardauli, India, bertindak nekad dengan mengikat seorang juruteknik pada menara pemancar, Khamis lalu.

Tindakan itu dilakukan bagi mendesak penyedia perkhidmatan telefon bimbit mengambil tindakan terhadap masalah liputan yang berulang kali dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

Rakaman video kejadian itu turut tular di media sosial menunjukkan juruteknik terbabit diikat pada menara pemancar sebelum dikerumuni beberapa penduduk kampung.

Memetik laporan NDTV, individu yang merakam video berkenaan memaklumkan tindakan itu dilakukan kerana penduduk terlalu kecewa dengan gangguan rangkaian yang berlarutan sejak dua tahun lalu.

Menurut polis, penduduk kampung sudah lama berdepan masalah liputan dan kemarahan mereka memuncak sebaik sahaja pekerja menara berkenaan tiba di kampung itu.

Penduduk meluahkan rasa tidak puas hati kerana walaupun menara pemancar terletak di kampung mereka, masalah rangkaian masih berlaku, manakala aduan berulang kali kepada syarikat terbabit tidak membuahkan hasil.

Berikutan itu, penduduk mengikat juruteknik yang berkunjung ke kampung berkenaan pada menara pemancar dan menegaskan dia tidak akan dilepaskan sehingga pegawai syarikat telekomunikasi datang sendiri ke lokasi untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Penduduk turut merungut kerana sudah membeli tambah nilai prabayar bagi perkhidmatan 5G, namun masih sukar mengakses internet atau membuat panggilan telefon akibat masalah rangkaian.

Sebaik menerima maklumat kejadian, polis bergegas ke lokasi dan membebaskan juruteknik berkenaan.

Ketua Balai Polis Bindki, Shailesh Singh berkata, siasatan awal mendapati penduduk bertindak demikian kerana terlalu berang dengan masalah rangkaian telefon bimbit di kawasan berkenaan.

“Penduduk berdepan masalah rangkaian telefon bimbit hingga mendorong mereka mengikat pekerja berkenaan pada menara pemancar,” katanya.

Laporan polis turut dibuat berdasarkan aduan juruteknik berkenaan, manakala polis kini meneliti keadaan di lokasi serta rakaman video yang tular bagi mengenal pasti kronologi kejadian dan individu yang terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top