SHAH ALAM – Sikap suka mengungkit perkara lalu tidak akan memberi manfaat kepada Pas dan UMNO, kata Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Ini kerana katanya, keadaan politik sentiasa berubah dan mengungkit kembali apa yang pernah diperkatakan oleh kedua-dua parti tidak akan menemukan penghujungnya.
Justeru, beliau berkata, perubahan politik dan keadaan semasa perlu diterima tanpa terus terperangkap dengan kisah lama.
“Kalau nak ungkit apa Pas kata pada UMNO, dan apa UMNO kata pada Pas dulu, sampai bila pun takkan selesai.
“Politik berubah, keadaan berubah. Ramai sangat ‘ceplos’ main kisah lama dan laga-lagakan puak-puak kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Dalam hantaran sama, beliau turut memberi contoh mengenai situasi berkenaan.
“Ada seorang sahabat pun pernah kata, ‘kalau suatu hari nanti saya tinggalkan Pas maka pada saat itu anggaplah saya gila.’ Hari ini sudah berubah.
“Jadi, move on. Jangan hidup dalam politik semalam,” katanya.