am@hmetro.com.my
Seremban: Kapten Zainol Afiq Bee Sham yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Miri Sarawak disifatkan sebagai seorang yang suka membantu rakan dan orang memerlukan.
Rakan sekolah Allahyarham, Dr Muhammad Fauzan Baharum, 31, mengakui dia tidak mampu menahan air mata apabila mendengar berita mengenai nahas mengorbankan Allahyarham.
“Ketika di sekolah dulu, arwah tidak mempunyai masalah dengan sesiapa pun kerana dia sememangnya seorang yang baik.
“Malah, dia seorang yang peramah dan senang menolong orang. Sesiapa yang minta tolong, dia akan cuba bantu,” katanya ditemui di Masjid Bandar Baru Senawang, di sini, hari ini.
Tambahnya, walaupun masing-masing sudah berkerjaya dan tinggal di luar Seremban, mereka akan berjumpa apabila pulang ke rumah keluarga di Senawang.
Katanya, kali terakhir berjumpa ketika menghadiri perlawanan bola sepak yang dianjurkan oleh bekas pelajar sekolah mereka, tahun lalu.
“Saya tinggal di Putrajaya, tetapi kalau kebetulan sama-sama balik ke Senawang, kami akan keluar lepak. Arwah memang dari dulu baik orangnya, tak pernah berubah,” katanya.
Menceritakan detik mengetahui berita kehilangan sahabatnya itu, Muhammad Fauzan berkata, dia rasa tidak sedap hati sebaik tahu mengenai berita pesawat terhempas di Miri, Sarawak dan berharap tidak membabitkan Zainol Afiq.
“Bila tahu ada helikopter terhempas itu saya dah tak sedap hati dan berdoa supaya bukan kawan saya.
“Tapi esoknya disahkan dalam kumpulan WhatsApp sekolah, salah seorang mangsa adalah Zainol Afiq. Saya menangis kerana sedih,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara kepada isteri Allahyarham, Hashim Mohd Harun, 58, pula menyifatkan bapa kepada dua anak itu sebagai seorang yang baik dan bertanggungjawab.
“Dia anak saudara yang baik dan bertanggungjawab. Komitmen dia sangat tinggi dan bertanggungjawab kepada keluarga.
“Dia juga tidak bezakan kami keluarga sebelah isteri dan keluarganya sendiri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kerana dia dianggap ikon kepada keluarga kerana Zainol Afiq berjaya membina kerjaya dalam usia muda.
© New Straits Times Press (M) Bhd
