Jamil Khir didakwa esok, tuduhan berkait RCI TH

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan didakwa esok berhubung kes berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Semakan terhadap sistem mahkamah mendapati beliau akan dihadapkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad pada jam 9 pagi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 10 September lalu, mengesahkan seorang bekas menteri akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dilapor berkata, pendakwaan itu membabitkan kes berkaitan Laporan RCI TH, selepas pihaknya memperoleh kebenaran Peguam Negara untuk mengemukakan pertuduhan di mahkamah.

SPRM dilapor mengesyorkan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang merujuk kepada kesalahan dengan curang menyalahgunakan atau mengalih, menggunakan atau mencairkan harta kepunyaan pihak lain untuk kegunaan diri sendiri secara tidak jujur.

Ia memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda.

SPRM melalui pernyataan media hari ini, menyatakan ia sudah mendapat izin untuk mendakwa seorang bekas menteri yang sebelum ini direman selama lima hari hingga 6 September lalu.

Bekas menteri terbabit kemudian direman dua hari lagi bagi membantu siasatan SPRM sebelum dilepaskan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top