KUALA LUMPUR: Pelakon, Lando Zawawi merayu orang ramai, khususnya kenalan dan sahabat kepada pelawak Amir Raja Lawak atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, agar menitipkan doa buat kesembuhannya yang kini dilaporkan berdepan masalah kesihatan serius.
Menerusi perkongsian di Threads, Lando memaklumkan Amir mengalami jangkitan paru-paru selain mempunyai sejarah penyakit asma sejak kecil.
Menurutnya, Amir kini sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan lanjut di unit rawatan rapi (ICU).
Lando berkata, dia membuat perkongsian itu selepas mendapat keizinan ibu Amir, Nizan, bagi memohon orang ramai mendoakan agar pelawak berkenaan segera pulih.
“Saya baru saja mendapat keizinan daripada ibu Amir, Puan Nizan, untuk memohon sanak saudara dan rakan-rakan yang mengenali saudara kita, Mohammad Amirullah Azmi, sama-sama mendoakan agar beliau segera pulih dan kembali sihat.
“Ketika ini, beliau sedang menunggu giliran di ICU untuk proses seterusnya. Maaf, saya tak sanggup cakap, tetapi beliau mengalami jangkitan paru-paru. Asma memang sejak kecil,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Lando turut meluahkan harapan agar Allah SWT masih memberikan peluang buat Amir untuk kembali sihat dan meluangkan masa bersama insan tersayang.
“Semoga Allah masih beri peluang kita bersamanya,” katanya.
Pada masa sama, Lando turut menitipkan peringatan kepada individu yang masih mempunyai hutang dengan Amir agar tidak mengabaikan tanggungjawab berkenaan.
“Sekadar peringatan buat pihak yang masih berhutang pada dia,” katanya.
Bagaimanapun, BH Online masih berusaha menghubungi Lando bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung keadaan terkini Amir.
© New Straits Times Press (M) Bhd