LATEST
National

Aaron-Roy King, Sze Fei-Izzuddin berentap di Jepun

Aaron-Roy King, Sze Fei-Izzuddin berentap di Jepun

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah menjamin sekurang-kurangnya satu slot ke suku akhir acara beregu lelaki Masters Kumamoto di Jepun selepas dua gandingan negara, Aaron Tai-Yap Roy King dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan bertembung pada pusingan kedua, Khamis ini.

Aaron-Roy King yang menghuni ranking ke-55 dunia hanya memerlukan 25 minit untuk menyingkirkan gandingan tuan rumah, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi yang berada di ranking ke-17 dunia, 21-8, 21-14 pada aksi pusingan pertama di Gimnasium Wilayah Kumamoto, hari ini.

Juara Terbuka Artik itu terus menyerlahkan potensi apabila mendominasi permainan selepas menemui rentak, sekali gus menamatkan cabaran lawan dalam dua set untuk menempah pertemuan dengan Sze Fei-Izzuddin.

Jurulatih beregu lelaki negara, Chang Kim Wai berkata, Aaron-Roy King agak perlahan untuk menyesuaikan permainan pada set pertama sebelum berjaya membaca corak permainan lawan dan menguasai perlawanan.

“Pada set pertama, mereka agak lambat untuk mendapatkan rentak permainan. Namun, selepas berjaya membaca corak permainan lawan, mereka mula mengganggu rentak dan corak permainan pasangan Jepun itu,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, pasangan profesional, Sze Fei-Izzuddin yang menduduki ranking kelima dunia turut mengesahkan kemaraan selepas menepati ramalan dengan menewaskan gandingan Denmark, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer yang menghuni ranking ke-20 dunia, 21-15, 21-16.

Pertembungan itu bakal menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan, sekali gus menyaksikan gandingan meningkat naik Aaron-Roy King menguji kemampuan mereka menentang beregu berpengalaman negara, Sze Fei-Izzuddin bagi merebut tiket ke suku akhir.

Mengulas pertembungan itu, Kim Wai berkata Aaron-Roy King tetap mempunyai peluang untuk melangkah ke suku akhir, namun prestasi ketika perlawanan berlangsung akan menjadi penentu.

“Peluang memang ada. Kita tengok nanti ketika dalam perlawanan siapa yang mampu mempamerkan prestasi lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa satu lagi beregu lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong yang terkandas di pusingan pertama selepas tewas dalam pertarungan tiga set kepada gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 16-21, 21-16, 20-22.

Sementara itu, gandingan Chia Weijie-Teo Yi berjaya melangkah ke undian utama selepas menewaskan pasangan China, Lin Xiang Yi-Zeng Wei Han 21-15, 21-18 pada pusingan kelayakan.

Bagaimanapun, ujian getir menanti mereka pada pusingan pertama apabila dijadual bertemu pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news