LATEST

Gen Z takut terikat komitmen – Faizul Ridzuan

Gen Z takut terikat komitmen – Faizul Ridzuan

Kuala Lumpur : Sikap berwaspada dan bimbang terhadap komitmen jangka panjang menjadi punca utama sebilangan anak muda daripada generasi Gen Z menangguhkan impian berkahwin mahupun memiliki rumah sendiri.

Menurut Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif FAR Capital, Faizul Ridzuan, kebimbangan itu timbul berikutan persepsi bahawa kedua-dua keputusan berkenaan menuntut tanggungjawab berterusan dalam tempoh yang lama, sekali gus mencetuskan keraguan mengenai kesediaan sebenar mereka.

“Daripada perbincangan saya bersama anak muda Gen Z, saya mendapati ada yang mengelak untuk berkahwin atas faktor yang sama mereka mengelak daripada mengambil pinjaman rumah, iaitu mereka takut terikat.

“Kedua-duanya membabitkan tanggungjawab jangka panjang dan mereka sangsi sama ada mereka benar-benar bersedia,” katanya.

Faizul menjelaskan, ketidakpastian ekonomi peribadi mengukuhkan lagi keraguan berkenaan, terutamanya bagi golongan muda yang sudah pun terbeban dengan pelbagai obligasi sedia ada seperti bayaran ansuran kenderaan, pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta tekanan kos sara hidup harian.

Menurut beliau, pembeli muda yang berminat dalam sektor hartanah kini bertindak lebih berhati-hati dan menuntut matlamat kewangan yang jelas sebelum membuat sebarang keputusan pembelian.

Ini termasuk menilai secara mendalam potensi penjanaan pendapatan sewaan serta keuntungan nilai jualan semula (capital gain) pada masa depan.

“Mereka mahu membeli hartanah mengikut kemampuan, menjana pendapatan daripadanya, dan mempunyai pilihan untuk menjual apabila nilainya meningkat.

“Mereka lebih berwaspada kerana tidak mahu terperangkap dengan bebanan kewangan seperti mana yang pernah dialami oleh generasi ibu bapa mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Faizul memberitahu bahawa generasi muda hari ini mengutamakan fleksibiliti kewangan, terutamanya apabila menilai bagaimana komitmen pinjaman perumahan tegar boleh memberi kesan kepada fleksibiliti kerjaya, hasrat memulakan perniagaan, atau rancangan berkeluarga.

“Mereka sering bertanya, apa akan jadi jika bertukar kerja, mahu memulakan perniagaan, atau perlu berpindah? Sebelum menandatangani perjanjian pinjaman, mereka mahu memastikan hartanah tersebut selari dengan rancangan hidup dan memberi mereka ruang fleksibiliti jika situasi berubah,” katanya.

Justeru, beliau menekankan pentingnya pendekatan pendidikan kejuruteraan kewangan bagi membantu bakal pembeli menilai setiap persoalan berkenaan menerusi pengiraan kelayakan yang realistik, analisis permintaan sewaan, kos pegangan, serta potensi pemilikan jangka panjang.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pembeli supaya tidak mengambil mudah risiko kewangan, khususnya kadar kekosongan penyewa, selain memahami bahawa pulangan sewaan mahupun kenaikan nilai jualan semula bukanlah sesuatu yang dijamin secara mutlak.

Faizul berkongsi pandangan itu sempena persidangan FIRE (Financially Independent, Retire Early), yang menghimpunkan lebih 2,500 peserta di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.

Persidangan anjuran FAR Capital bagi tahun 2026 itu turut mengupas pelbagai strategi pelaburan merangkumi hartanah, saham dan emas, di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman scam pelaburan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news