sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bukan sekadar menguji ketahanan diri, laluan berbukit Larian Merdeka Oxyenergy Media Prima 2026 turut menguji kudrat pelari triatlon negara, Shahrom Abdullah yang terpaksa menolak stroller membawa dua anaknya sepanjang menyertai larian itu bersama keluarga.
Menurut Shahrom, biarpun laluan berbukit memberikan cabaran tambahan, ia menjadikan larian berkenaan lebih menarik selain menjadi peluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
“Larian hari ini sangat menyeronokkan dan menjadi platform yang hebat untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Selain meningkatkan kecergasan fizikal, aktiviti sebegini amat bagus untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan ahli keluarga daripada pelbagai peringkat umur.
“Laluan berbukit hari ini memang memberikan sedikit cabaran dan saya terpaksa menolak stroller yang membawa dua anak. Namun, bagi saya cabaran bukit sebegini adalah variasi yang bagus untuk menguji ketahanan mental dan fizikal pelari,” katanya.
Selain itu, pelari berpengalaman itu melihat pengalaman mengharungi laluan berbukit itu juga membuatkan kejayaan menamatkan larian terasa lebih memuaskan.
Dalam perkembangan sama, Shahrom kini berada dalam fasa latihan dan persediaan menghadapi tiga kejohanan utama selepas ini.
Dia dijadual menyertai Powerman Malaysia pada 20 September, diikuti Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon (4 Oktober) sebelum turun pada Ironman Oman, 5 Disember yang menjadi kejohanan utama dan penutup musimnya tahun ini.
Sementara itu, peserta Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Farhana Baharuddin dari Persatuan Orang Kurang Upaya Putrajaya (ProJaya) turut menjadikan faktor kesihatan sebagai dorongan menyertai larian berkenaan.
Bagi Farhana, dia sudah menyertai kira-kira lima larian tahun ini dan mengakui laluan sejauh 3.5 kilometer itu lebih mencabar berikutan banyak kawasan berbukit.
“Kalau larian biasa lima kilometer, yang ini tiga kilometer pun rasa macam sudah lima kilometer lebih sebab bukit. Memang mencabar, tetapi banyak bantuan daripada pelari lain dan anggota polis trafik yang membantu menolak ketika di kawasan berbukit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
