Aidil Sholeh akhiri kemarau 18 bulan

PEMAIN profesional lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin menamatkan kemarau 18 bulan tanpa kejuaraan apabila muncul juara Terbuka Vietnam 2026 di Ho Chi Minh pada Ahad.

Aidil, 26, yang turun sebagai pemain bukan pilihan menewaskan pilihan utama dari Singapura, Jason Teh 21-16, 21-14 dalam tempoh 45 minit pada aksi final di Stadium Nguyen Du.

Bijak mengatur strategi sejak awal menjadi kunci kejayaan Aidil apabila dia berjaya membaca corak permainan Jason yang berkedudukan ke-31 dunia sebelum mengawal perlawanan untuk membawa pulang gelaran Jelajah Dunia Super 100 pertama dalam kariernya.

Kejayaan itu turut memperlihatkan hasil kerja keras bersama jurulatihnya, Seto Danu Kusuma yang membantu membentuk sistem latihan bagi memastikan Aidil terus berkembang dan mencabar kelompok terbaik dunia.

Aidil sebelum itu terpaksa bangkit daripada ketinggalan pada aksi separuh akhir menentang wakil Jepun, Minoru Koga untuk melangkah ke final.

Selepas tewas 14-21 pada set pertama, Aidil memperkemaskan pertahanan dan memperlahankan tempo permainan untuk memenangi set kedua 21-15 sebelum mengesahkan kemenangan 21-17 pada set penentuan.

Gelaran di Vietnam itu menjadi kejuaraan pertama Aidil sejak menjuarai Cabaran Antarabangsa Sri Lanka pada Mac tahun lalu, sekali gus mengakhiri penantian panjangnya di pentas antarabangsa.

Sebagai juara, Aidil membawa pulang hadiah AS$8,250 (kira-kira RM35,500), selain mata ranking yang mampu membantu memperbaiki kedudukannya daripada ranking ke-91 dunia.

Scroll to Top