Kapal Virgo Transport 8 karam, lebih 600 penyelamat cari 129 mangsa hilang

Jakarta: Lebih 600 anggota penyelamat Indonesia mencari 129 individu yang masih hilang selepas sebuah kapal penumpang karam di Laut Jawa pada hujung minggu, kata seorang pegawai pada Isnin, manakala angka kematian kekal enam orang.

Kapal Virgo Transport 8 yang membawa 243 penumpang dan kru kapal itu dilaporkan hilang ketika cuaca buruk awal Ahad, menurut agensi penyelamat.

Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 108 individu daripada kapal yang dalam perjalanan dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan.

“Kami meneruskan operasi mencari mangsa yang hilang sejak awal pagi. Kami mengerahkan 622 anggota dan kira-kira 12 kapal,” kata ketua agensi penyelamat Banjarmasin, I Putu Sudayana kepada Reuters.

Beliau berkata, tiada pertambahan jumlah kematian yang kekal enam orang setakat pagi Isnin.

Dalam video yang dikongsikan agensi penyelamat, sebuah kapal besar berwarna merah dan hitam kelihatan terbalik dan separuh tenggelam di permukaan air biru yang bergelora, dengan bahagian bawah kapal yang dicat merah kelihatan di atas permukaan.

Dua bot kecil yang masing-masing membawa beberapa individu turut kelihatan terapung berhampiran kapal yang terbalik dalam keadaan air bergelora.

Pada Ahad, seorang lagi pegawai agensi penyelamat kebangsaan, Edy Prakoso, berkata kapal itu senget teruk ke satu sisi selepas ombak kuat melanda bahagian kanan kapal.

Sebuah helikopter yang melalui kawasan berkenaan melaporkan kapal itu sudah karam, kata Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi pada Ahad, manakala puncanya masih disiasat.

Indonesia bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menghubungkan kira-kira 17,000 pulau di negara itu kerana perjalanan laut lebih murah dan mudah diakses berbanding penerbangan, namun banyak kemalangan pernah berlaku.

Dalam kejadian berasingan bulan lalu, dua feri yang membawa ratusan penumpang terbakar di perairan Indonesia. Lima orang maut selepas sebuah feri terbakar di perairan berhampiran Pulau Madura, manakala seorang lagi maut dalam kebakaran feri yang dalam perjalanan dari pulau peranginan Bali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top